Wednesday, June 25, 2008

JANGAN CABAR ISLAM...

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah telah mengingatkan rakyat supaya jangan menguji dan mencabar isu-isu berkaitan agama Islam hingga ke peringkat yang boleh menimbulkan kegelisahan rakyat.

Menurut baginda, ketenteraman awam boleh terjejas dan perang saudara mungkin tercetus kerana perkara mengenai agama sangat sensitif dan menyentuh emosi.

“Islam menganjur umatnya untuk menghormati agama lain dan tidak bermusuh dengan penganut agama lain selagi kemuliaan Islam tidak dipersenda, selagi Islam tidak dihina dan selagi hak umat Islam tidak dicerobohi,” titah Sultan Azlan ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak.

Sultan Azlan bertitah, agama Islam diberi pengiktirafan khusus dalam Perlembagaan Negara dan menjadi tunjang utama dalam pembentukan minda serta budaya khususnya dalam kalangan orang Melayu.

Titah baginda, berdasarkan latar belakang tersebut, Islam diterima dan diiktiraf sebagai agama rasmi dengan diberikan keistimewaan dan perlindungan sewaktu perjanjian merdeka dirintis.

ULASAN

Pembentukan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya bertitik tolak dari pengalaman yang pernah dilalui. Negara kita pernah dijajah, dipaksa dan ditindas di tanahair sendiri serta terpaksa melalui berbagai-bagai pengalaman pahit getir, dalam usaha pembebasan dari belenggu penjajahan tersebut.

Kini selepas negara kita berjaya melepaskan diri daripada cengkaman penjajah, kewujudan masyarakat majmuk di negara ini dapat hidup dengan aman dan damai melalui dasar-dasar yang telah diperkenalkan oleh pihak pemerintah di mana semua masyarakat di Malaysia bebas mengamalkan agama, budaya dan adat resam masing-masing.

Penghayatan ajaran Islam yang diamalkan di Malaysia serta kebebasan mengamalkan ajaran agama, budaya dan adat resam oleh penganut-penganut agama lain telah menjadi ramuan kepada kekukuhan perpaduan dan keharmonian sepertimana yang kita nikmati pada hari ini. Islam sebagai tunjang dan agama rasmi persekutuan memberi kebebasan kepada orang bukan Islam untuk mengamalkan ajaran dan kepercayaan mereka sehingga tidak timbul sebarang keresahan dan kerungsingan di kalangan masyarakat bukan Islam.

Antara prinsip yang paling ketara dalam amalan kehidupan berharmoni di Malaysia ialah kebebasan beragama. Islam menghormati sepenuhnya kebebasan beragama dan mencegah adanya paksaan dalam beragama. Al-Quran dengan jelas melarang adanya paksaan sebagai cara mengembangkan agama sebagaimana Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“ Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)”. (Surah al-Baqarah –256)

Dan firmannya lagi yang bermaksud :

“ dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi, (janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu, kalau tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?” ( Surah Yunus: ayat – 99)

Jika kita menelusuri sejarah peradaban Islam, salah satu contoh terbilang yang melibatkan kebebasan beragama dalam Islam dapat dilihat dengan jelas ketika berlaku pembukaan negeri di Andalus, Sepanyol. Bangsa Yahudi yang disiksa dan diperhambakan, serta dilarang menganut agama selain dari Kristian pada zaman pemerintahan Gothik, telah berubah wajah apabila sinar Islam sampai ke bumi Eropah pada waktu itu. Bukan sahaja bangsa Yahudi dibebaskan daripada kekejaman, ketidakadilan dan penindasan bahkan agama Yahudi diizinkan untuk diamalkan.

Suasana harmoni yang dinikmati oleh masyarakat Malaysia ketika ini lahir dari kebijaksanaan mengamalkan dasar dan konsep kesederhanaan, kesamarataan, saling faham memahami, bertoleransi dan penerapan nilai-nilai murni. Situasi ini sebenarnya bersesuaian dengan konsep dan panduan yang telah dirintis oleh baginda Rasulullah s.a.w. pada zaman permulaan kebangkitan Islam. Di mana, baginda Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan sikap “tasamuh”, iaitu tolak ansur atau toleransi walaupun umat Islam menghadapi tentangan yang sengit daripada kaum Musyrikin Makkah pada ketika itu.

Jika masyarakat hari ini mengimbau sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w., contoh ideal masyarakat yang dibangunkan melalui semangat toleransi adalah masyarakat Madinah yang dibangunkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri dan para sahabatnya. Pada masa itu, masyarakat Islam menjalankan kehidupan dengan aman serta melaksanakan ajaran Islam dengan tenang. Demikian pula dengan orang-orang Nasrani dan Yahudi, mereka melaksanakan ritualnya masing-masing dengan bebas tanpa merasa khuatir dan ragu-ragu.

Dalam urusan pentadbiran dan keamanan negara pula, umat Islam saling berkerjasama dengan orang-orang Nasrani Dan Yahudi. Cuma pada satu ketika, orang-orang Yahudi di usir oleh baginda dan para sahabatnya kerana sikap mereka yang sentiasa mengkhianati dan memungkiri kesepakatan dan perjanjian yang telah dimeterai bersama.

Dalam ajaran Islam sendiri, menghormati dan menghargai anutan agama-agama lain merupakan satu aspek yang perlu diketahui dan difahami. Bahkan umat Islam dilarang sama sekali mencaci tuhan-tuhan yang disembah oleh penganut agama lain. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“ dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan”. (Surah al-An’am : 108)

Toleransi dalam Islam juga jelas terpancar, dalam satu peristiwa ketika baginda dan penduduk Madinah menuju ke Makkah bagi mengerjakan ibadat umrah. Baginda dan rombongannya ditahan dan dilarang memasuki kota Makkah ketika berada di Hudaibiyah. Rasulullah s.a.w tidak bertindak balas dengan menghadapi mereka secara kekerasan bahkan Baginda membuat rundingan dan perbincangan dengan kaum Musyrikin Makkah. Dengan penuh kebijaksanaan dan lapang dada, baginda bersikap tasamuh malah bersedia mengadakan perjanjian dan bersetuju pula dengan syarat-syarat yang berat sebelah yang diletakkan oleh pihak kaum Musyrikin Makkah.

Kebijaksanaan dan sifat tasamuh yang di tujukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya dalam menghadapi situasi getir ketika itu perlu diteladani dan diperhalusi oleh semua pemimpin bagi sesebuah negara yang mempunyai kepelbagaian etnik, budaya dan agama seperti yang wujud di Malaysia.

Bagi memastikan kelangsungan keharmonian antara agama, budaya dan etnik terus terpelihara di negara ini, konsep kerjasama atau ta’awun insani” juga perlu dijadikan sebagai satu dasar yang menyeluruh dan diterima pakai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman, agama dan budaya.

Konsep “ta’awun insani” merupakan konsep sejagat yang ditegaskan oleh al-Quran agar manusia saling bantu-membantu kearah kebaikan dan larangan bekerjasama kepada keburukan dan permusuhan. Firman Allah s.w.t dalam suarah al-Maidah ayat -2 yang bermaksud :

“ dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”.

Nabi s.a.w telah mengamalkan dan melaksanakan prinsip kerjasama sejagat ini ketika baginda menubuhkan negara Islam di Madinah al-Munawarah dengan mengadakan perjanjian dengan orang-orang Yahudi berprinsipkan kerjasama kearah kebaikan dan mempertahankan hak dan kemuliaan insan melalui perjanjian yang dimetrai bersama serta menolak kerjasama yang membawa kepada permusuhan dan pencerobohan.

Dalam konteks Malaysia ketika ini, usaha menggembeleng tenaga dalam usaha merungkai permasalahan gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang semakin membimbangkan perlu ditangani bersama. Kerjasama sebeginilah yang perlu di sepakati, disepadukan dan diintegrasikan oleh semua pihak melalui bentuk kerja dan tindakan yang dilaksanakan secara bersama tanpa dibataskan oleh sebarang perbezaan.

Sungguhpun demikian, kita tidak dapat menafikan hidup dalam suasana masyarakat majmuk ini mempunyai pelbagai emosi dan sensitiviti yang boleh menjerumuskan negara kita ke arah ketidakstabilan.

Oleh sebab itu, marilah kita sama-sama menggembeling tenaga dan bertekad untuk mempertahankan tanahair kita dari sebarang ancaman yang bakal menggugat kita, samada dalam bentuk ancaman kepada aqidah Islam, kepada bangsa dan keselamatan negara samada dari dalam mahupun dari luar negara.

Ketika umat Islam menghormati hak dan kebebasan penganut-penganut agama lain mengamalkan dan menjalankan kegiatan agama masing-masing. Masyarakat bukan Islam juga sepatutnya menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara dan jangan sekali-kali cuba mengganggu gugat kesucian agama Islam serta mempengaruhi umat Islam supaya murtad.

Ini kerana, ajaran Islam amat menitik beratkan hubungan sesama manusia dan amat tolerans berkenaan ajaran-ajaran agama lain. Oleh itu tindakan yang dilakukan oleh golongan tertentu akhir-akhir ini dengan menjadikan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan untuk mengganggu kedudukan Islam amat dikesali. Situasi ini di khuatiri akan mempengaruhi kestabilan dan keharmonian kaum di Malaysia yang telah terjalin sekian lama seandainya isu ini tidak diselesaikan dan dibincangkan secara bijak.

Oleh itu, bagi menjamin kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia ini terus dinikmati dan terpelihara. Semua pihak seharusnya saling memahami dan menghormati kepelbagaian agama, budaya hidup dan adat resam antara kaum. Semarakkan semula semangat setia kawan, berusaha mengelakkan perkara-perkara yang menimbulkan bibit-bibit perkauman, perpecahan serta sentiasa bersedia menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dengan cara rundingan dengan hati yang terbuka.


1 comment:

Anonymous said...

Jangan cabar islam. Jangan cabar allah. Jangan cabar terrorist.