Wednesday, June 25, 2008

BAHANA KHABAR ANGIN...

Agama Islam amat menitik beratkan soal perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat dan apa jua faktor yang boleh membawa kepada perpecahan, maka Islam amat mencela perbuatan tersebut. Salah satu faktor yang boleh membawa ke arah perpecahan adalah berpunca dari khabar angin. Faktor khabar angin ini telah menjadi satu sejarah yang terangkum dalam al-Quran yang seharusnya diambil pengajaran dan sempadan. Allah s.w.t telah menurunkan ayat khusus mengenai perbuatan tersebut sebagaimana FirmanNya di dalam surah Al-Hujurat ayat 6:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman , jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini- dengan sebab kejahilan kamu mengenainya- sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Ayat di atas memberi makna yang umum, yang mana kita perlu menyelidiki dan meneliti segala berita dan perkhabaran yang diterima. Berita yang disampaikan oleh mereka yang beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia haruslah diterima manakala berita yang disampaikan atau datangnya dari orang-orang yang fasik hendaklah diselidik dan diteliti kesahihannya terlebih dahulu. Dalam ajaran Islam itu sendiri, setiap berita yang kita terima itu perlu diketahui kedudukannya sebagaimana kaedah fiqh menyatakan: “Sesuatu berita atau kejadian yang diterima itu mengandungi kebarangkalian antara benar dan salah”.

Para Mufasirin menyebutkan bahawa sebab diturunkan ayat di atas adalah kerana satu kisah yang berlaku kepada salah seorang sahabat Nabi yang bernama Al-Walid bin Ukbah Abi Muid. Beliau telah diutusksn oleh Rasullullah s.a.w untuk menguruskan sedekah dan zakat kaum Bani Mustalak. Kehadiran Al-Walid ini telah disambut baik dan kaum Bani Mustalak mengeluarkan zakat sepertimana yang telah diwajibkan. Setelah selesai, Al-Walid pun kembali menemui Rasullullah s.a.w dan memberitahu bahawa kaum Bani Mustalak telah murtad dan enggan mengeluarkan zakat.

Lantas Rasullullah s.a.w telah menghantar Khalid bin Al-Walid untuk menyelidik dengan teliti dan berpesan supaya jangan bertindak terburu-buru mengenai perkhabaran tersebut. Khalid bin Al-Walid pun pergi dan mengutuskan beberapa orang perisik pada waktu malam. Apabila mereka pulang, mereka mengatakan bahawa kaum Bani Mustalak masih berpegang teguh dengan ajaran Islam dan mereka sendiri mendengar laungan azan ketika masuk waktu sembahyang.

Lalu mereka pulang menemui Rasullullah s.a.w dan menyampaikan berita gembira itu kepada baginda Rasullullah s.a.w, kemudian baginda bersabda dengan Mafhumnya: " Langkah selidik dengan teliti itu dari ajaran Allah s.w.t dan bertindak terburu-buru itu adalah dari dorongan syaitan”. Lalu diturunkan ayat ini mengenai peristiwa tersebut sebagai pengajaran, supaya kita dapat meneliti sebarang berita dan maklumat yang disampaikan atau diterima agar dengannya keputusan yang tepat dapat diambil.

Allah s.w.t menciptakan manusia sebagai Khalifah Allah di bumi ini sewajarnya menonjolkan sifat-sifat seperti bekerjasama, bertolak-ansur, bantu-membantu dan bermuafakat dalam segala urusan. Apabila ilmu itu terpisah dari nilai-nilai akhlak dan cenderung kepada akal fikiran yang mengutamakan hawa nafsu semata-mata, ianya akan menjadi penyebab berlakunya perpecahan kesan daripada khabar angin dikalangan umat manusia. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Anam ayat 159:

Maksudnya: Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu, dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikit pun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanyalah terserah kepada Allah s.w.t. Kemudian ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), akan apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya).

Kita perlu meneliti tentang faktor dan punca yang menyebabkan khabar angin ini berlaku. Ini kerana faktor dan punca inilah yang akan membawa banyak kemudaratan dan kerosakan khususnya dalam hubungan bermasyarakat. Antara punca yang boleh dikenal pasti merebaknya khabar angin apabila tiada lagi sumber yang tepat, tulus, jujur dan sah yang menyakinkan masyarakat sehingga masyarakat mencari satu altenatif lain yang lebih cepat dan inilah yang menyebabkan khabar angin menjadi pilihan.

Faktor kedua ialah sikap masyarakat sendiri yang suka dan gemar kepada berita sensasi yang sentiasa mahukan maklumat baru, sedang mereka lupa untuk menyelidik dan menilai sebagaimana yang disyorkan oleh agama.

Faktor ketiga pula ialah apabila masyarakat sukar untuk mendapatkan berita atau maklumat rasmi yang lengkap dan tidak mengelirukan. Satu perkara yang amat mendukacitakan kita juga ialah sikap segelintir kita yang kadang-kadang mengambil kesempatan untuk menjadi ejen penyebar maklumat palsu hanya disebabkan kepentingan peribadi mereka dan sikap inilah yang amat dibenci oleh Allah s.w.t dan Islam sendiri.

Oleh yang demikian, Islam amat memandang serius tentang perkara ini, kerana ia akan mendatangkan implikasi yang amat buruk sekiranya tidak dibendung sebaiknya. Agama Islam menyarankan kita supaya meneliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Dalam dunia era Globilisasi kini , amat malang bagi kita sekiranya kemajuan teknologi disalah gunakan. Ini kerana jika kita perhatikan penyebaran maklumat seperti melalui internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS), amat mudah untuk dijadikan alat penyebar maklumat dan berita palsu yang mampu menjelajah seluruh pelusuk dunia tanpa halangan dan sebarang masalah dalam sekelip mata.

Inilah yang banyak mempengaruhi minda masyarakat kini tidak kira samada golongan tua atau pun muda. Sumber palsu ini akan dapat disebarkan pantas dan kes terbaru yang membabitkan penyebaran SMS yang kononnya Stesen minyak di bandar-bandar utama di sekitar negeri Sabah sesak dengan kenderaan ekoran khabar angin yang tersebar luas kononnya para pengusaha stesen itu akan melancarkan mogok dengan menutup operasi selama 3 hari.

Difahamkan, pengguna kenderaan beratur panjang untuk mengisi minyak sehingga menyebabkan kesesakan teruk lalu lintas di beberapa laluan utama, menyebabkan suasana panik dan bimbang di kalangan pengguna . Keadaan itu juga menyebabkan pengusaha stesen minyak di Sandakan dan Tawau mengehadkan jualan RM50 seorang bagi mengelakkan bekalan minyak kehabisan.

Apa yang dikhuatiri, kesan dari khabar angin ini akan menyebabkan perpecahan dan menimbulkan ketegangan yang bukan hanya melibatkan seseorang atau dua orang tetapi melibatkan banyak pihak. Selain itu, akan merugikan seluruh masyarakat dan negara, dengan hilangnya semangat kasih sayang , hormat menghormati dan tidak menaruh kepercayaan di antara satu sama lain yang akan mengakibatkan runtuhnya sesebuah institusi masyarakat dan hilangnya kewibawaan sesuatu bangsa.

Terdapat sebahagian dari masyarakat kita yang enggan menerima teguran walaupun ia sendiri mengetahui apa yang dilakukan itu jelas tidak betul dan bertentangan dengan ajaran Islam. Mereka bukan sahaja tidak mengendahkan teguran, bahkan sebaliknya cuba memusuhi mereka yang memberi teguran. Dalam hal ini, Islam sangat mengutuk dan menghina perbuatan tersebut sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Munafikun: 5-6.

Maksudnya: Dan apabila dikatakan kepada mereka, “marilah (bertaubat) supaya Rasulullah s.a.w. meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu”, Mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya, dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh. (tidak ada faedahnya) kepada mereka, samada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah pertunjuk kepada kaum yang fasik.

Oleh yang demikian, marilah kita bersama berganding bahu, bersatu padu memulihkan keadaan dan bersama-sama mengikis sikap suka menyebarkan khabar angin atau berita palsu. Ini kerana Al-Quran telah mengajar kepada kita apabila menerima sesuatu berita hendaklah diselidiki terlebih dahulu tentang kebenarannya dan mengelakkan dari berlakunya penyebaran khabar angin bertepatan dengan kehendak Islam yang sebenar.

No comments: