Monday, August 25, 2008

JALUR GEMILANG KU.....

Antara Cetusan Minda Sihat...atau Idea GILA....


SAYA amat terkejut apabila ada cadangan supaya bendera negara, Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik sebagai menunjukkan rasa tidak puas hati kepada negara dengan apa yang berlaku sekarang. Kepada saya ini adalah saranan gila daripada seseorang yang tidak bermaruah, dengki hati, dan 'hampas' negara. Satu saranan yang tidak wajar sama sekali dipakai dan diikuti walau di mana jua pun kita berada. Kita boleh sifatkan ia saranan daripada seorang musuh negara yang mahu masyarakat negara ini hilang hormat kepada simbol kemegahan negara.

Kenapa ada rakyat Malaysia yang berfikiran begini? Orang yang menyarankan hal-hal begini sepatutnya tidak lagi berada di negara ini. Menterbalikkan bendera negara bermakna menterbalikkan negara ini. Negara yang terbalik akan hancur. Mengapa ada cadangan demikian yang lahir dari lubuk hati rakyat negara ini? Apakah negara kita sudah begitu buruk hingga lahir pandangan yang demikian? Apakah negara kita sudah cukup zalim hingga hak rakyat dinafikan atau nyawa rakyat diambil secara mudah. Apakah rakyat Malaysia sekarang di dalam kebuluran hingga mereka begitu marah kepada kerajaan? Apakah ada rakyat disumbat ke penjara sewenang-wenangnya?

Pendatang asing tanpa izin (PATI) pun tahu menghormati bendera Malaysia. Inikan pula rakyat tempatan di mana mereka lahir, dibesarkan dan menikmati segala kemudahan yang diberikan. Manusia jenis apakah ini? Sebak, pilu, sedih, duka dan berang apabila mengenangkan segelintir manusia yang tidak menghargai negaranya. Bendera Malaysia telah diangkat dengan persetujuan raja-raja, ia simbol kedaulatan. Menterbalikkan bendera bermakna menterbalikkan sistem beraja. Apakah kita bersedia membuang raja-raja kita?

Orang-orang begini tiada kesedaran sivik sama sekali atau dalam bahasa kasarnya tidak 'bertata rakyat'. Cadangan yang kurang siuman ini mesti ditentang oleh rakyat Malaysia yang cintakan negara. Penulis blog yang mencadangkan supaya mengibarkan bendera terbalik mesti memohon maaf kepada raja-raja dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Orang-orang sebegini tidak harus berada di dalam negara ini.

Ingatlah, kita harus pisahkan rasa tidak puas hati kita kepada pemerintah jika ada, dengan rasa cinta kita kepada negara. Rasa tidak puas hati kepada pemerintah mungkin telah diterjemahkan dalam bentuk undi. Hasilnya ialah apa yang kita lihat pada hari ini.

Pembangkang telah memerintah lima negeri. Mengapa ada cadangan tidak siuman supaya bendera diterbalikkan bagi menyambut hari kemerdekaan negara kita ini.

Ingatlah orang 'Barbarian' sekalipun cinta kepada benderanya. Kalau mereka berperang, bendera mereka akan mereka julang. Malah pahlawan-pahlawan Islam juga menjulang bendera ketika perang. Kalau bendera jatuh akan disambut pula oleh pahlawan lain. Namun membiarkan bendera jatuh ke tanah tidak sama sekali.

Oleh itu rakyat Malaysia, atas rasa keinsafan, marilah kita sama-sama mengibarkan bendera dengan cara yang betul, bertatatertib dan bertamadun. Jalur Gemilang adalah simbol kemegahan bangsa. Selamat menyambut kemerdekaan negara. Allah Selamatkan Bumiku Malaysia!

Friday, August 22, 2008

Cuba Ketuk Minda Anda

Cuba Selidik....Siapa Anwar, siapa Asghar Ali?


KERATAN akhbar Mail Today pada 13 Ogos 2008.

SEBUAH akhbar harian di India, Mail Today bertarikh 13 Ogos 2008 telah menyiarkan berita bergambar mengenai pernikahan pasangan Islam yang dilaksanakan oleh seorang kadi wanita dengan empat wanita sebagai saksi.

Pernikahan itu terlebih dahulu mendapat pandangan daripada beberapa orang yang mendakwa sebagai intelek Islam India termasuk Asghar Ali Engineer yang membenarkan pernikahan seperti itu.

Oleh kerana pernikahan itu bertentangan dengan ajaran Islam sebenar maka timbul persoalan siapa Asghar Ali? Apa fahamannya?

Dan turut menimbulkan persoalan ialah apa pula hubungan Asghar Ali dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Sebagai bukti, pada 16 Mei 2008, Anwar telah dijemput oleh Asghar Ali untuk memberi syarahan di Institut Pengajian Islam dan Pusat Masyarakat dan Sekularisme di Mumbai India.

Syarahan oleh Anwar itu dihadiri kira-kira 50 orang tetamu.

Kehadiran Anwar atas jemputan Asghar Ali dianggap sebagai rakan baik dan mereka mempunyai hubungan rapat.

Hanya orang yang mempunyai hubungan rapat sahaja dijemput memberi syarahan itu. Dalam hal ini, Anwar dilihat sebagai rakan baik Asghar Ali.

Timbul persoalan mengapa Anwar dijemput dan apakah FAHAMAN dan PENDIRIAN sebenar bekas Timbalan Perdana Menteri itu terhadap pegangan agama Asghar Ali yang membenarkan pernikahan sedemikian.

Asghar Ali memperlihatkan fahaman amat berbeza terhadap perkara-perkara yang dibenarkan oleh Islam.

Berdasarkan artikel yang ditulis oleh Asghar Ali berjudul 'What I Believe', beliau antara lain menyatakan:

''Saya berpegang kuat mempercayai bahawa setiap individu mempunyai hak untuk menukar agama mereka kepada agama lain tanpa sebarang halangan.''

Asghar Ali yang berasal dari masyarakat Bohra dan merupakan seorang pengikut Syiah, telah menulis lebih 40 buku.

Pada 2004, beliau telah dilucutkan jawatan sebagai Setiausaha Agung Lembaga Pusat Dawoodi Bohra kerana mengkritik pelaksanaan badan agama tersebut.

Persoalan kini timbul mengenai hubungan Asghar Ali dan Anwar hingga membolehkan Anwar menyampaikan syarahan atas jemputan Asghar Ali.

Memang kita sukar menjawab mengenai hubungan Asghar Ali dan Anwar, juga sukar untuk mengetahui pendirian Anwar dan hanya Allah SWT sahaja yang maha mengetahui.

Bagaimanapun, sebagai individu Islam yang dapat berfikir secara waras, apalah kiranya kita fikirkan sejenak mengenai pendirian sebenar Anwar yang berkawan dengan orang seperti Asghar Ali.

Saya juga ingin bertanya pada Anwar, apakah pendirian beliau mengenai pernikahan sedemikian.

Kenapa Anwar hadir memberi syarahan tersebut dan adakah ini menandakan sokongan beliau kepada Asghar Ali berhubung pernikahan itu?

Saya bimbang, jika Anwar ditakdirkan menjadi Perdana Menteri, dikhuatiri orang seperti Asghar Ali akan cuba mempromosikan pernikahan yang berlaku itu di negara ini.

Sebagai orang Islam, kita semua masih dapat menyelamatkan orang Melayu dan Islam di Malaysia sebelum terlambat.

Pada pembaca, saya minta fikirkan perkara ini. Pertimbangkan apa yang saya luahkan ini.

Pada masa sama untuk mengetahui siapa Asghar Ali, layari juga laman web http://en.wikipedia.org/wiki/Asghar_Ali_Engineer atau http://andromeda.rutgers.edu/~travakol/engineer/about.htm.

Monday, August 18, 2008

RENUNG-RENUNGKAN....

TERANCAMKAH ISLAM, MELAYU & BUMIPUTRA

Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak yang memperkatakan dan menguji kedaulatan Islam dan hak Melayu baik dari segi pemikiran dan ujian-ujian yang masih lagi berterusan semenjak Malaysia merdeka dan bukan selepas pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 seperti yang diuar- uarkan.

Fenomena ini akan berterusan selagi kaum-kaum yang menetap di bumi bertuah merasa dihimpit atau dianaktirikan baik orang Melayu atau bukan Melayu.

Hakikatnya, Melayu Islam mulai rasa tergugat baik semasa forum 'Memeluk Islam' anjuran Majlis Peguam atau perhimpunan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) atas protes kepada Menteri Besar Selangor kerana ingin membuka UiTM kepada bukan Melayu.

Pemimpin Melayu harus sedar dengan dasar pelajaran yang semakin global, kenyataan MB Selangor tidak banyak beza dengan arahan Menteri Pelajaran pada suatu masa dulu ingin menutup Pusat Asasi Sains Universiti Malaya dan dalam masa yang sama membuka seluas-luasnya penubuhan IPTS yang kebanyakan institusi tersebut dimonopoli oleh bukan Melayu.

Begitu juga dengan kuota 10 peratus pelajar bukan Melayu ke dalam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebanyak 45 peratus kepada bukan Melayu.

Sekarang pun, di dalam IPTA yang ada - atas dasar meritokrasi yang dipersetujui oleh pemimpin Melayu memperlihatkan majoriti pelajar IPTA dikuasai oleh bukan Melayu. Contohnya, Universiti Malaya, di era tahun 1978 sehingga 1986, kolej kediaman universiti dipenuhi oleh bumiputera 70 peratus dan bukan bumiputera 30 peratus. Sekarang menjadi sebaliknya semenjak meritokrasi yang diwujudkan oleh pemimpin Melayu yang lahir dan berjaya melalui sistem 'kuota'.

Jadi tidak menghairankan mengapa bukan Melayu tidak lagi bersuara lantang ingin mewujudkan 'Universiti Merdeka' pada suatu masa dulu kerana mereka kini mempunyai berpuluh-puluh 'institusi dan kolej merdeka.'

Hak-hak bumiputera dan hak Melayu akan terus dipertikai selagi kedudukan Melayu terutama yang berkuasa baik di peringkat pusat atau pemimpin negeri ingin terus mengambil hati mereka semenjak kaedah 'jus soli' diperkenalkan.

Kaum bumiputera sepatutnya menyanjung tinggi jasa Allahyarham Tun Abdul Razak yang menambah biak sekolah berasrama penuh (SBP) melalui pewujudan sekolah menengah sains di setiap negeri selepas berlaku peristiwa 13 Mei 1969, untuk melahirkan Melayu bijak pandai bagi mengimbangi ketidaksamaan ekonomi melalui pendidikan dan seterusnya mewujudkan Institut Teknologi Mara, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Pertanian Malaysia bagi menampung pelajar ini sehingga bukan bumiputera pun mahu wujudkan juga 'Universiti Merdeka' tetapi kerajaan hanya membenarkan kelahiran Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR).

Tapi atas sifat murah hati dan sentiasa menjaga hati kaum lain, kita sekarang ini sudah membuka seluas-luasnya kepada bukan bumiputera untuk pendidikan dan kini mereka telah menguasai pula sebahagian besar kuasa sistem politik bukan melalui pemimpin mereka tetapi melalui pemimpin Melayu kita sendiri.

Walhasil kita dapat lihat sekarang ini sistem politik juga dialibabakan macam kontrak pembinaan.

Kerajaan seharusnya mengambil iktibar bahawa golongan ini akan terus memainkan sentimen selagi mereka berupaya. Dan saya yakin suatu hari nanti mereka akan berjaya. Kaum bukan bumiputera kini hanya tunggu dan lihat.

Mereka menguasai ekonomi tanpa memberi ruang kepada bumiputera untuk berkongsi secara total, mereka menguasai sistem penyiaran swasta dengan memperbanyakkan siaran bahasa mereka di dalam setiap saluran, mereka memperbanyakkan institusi pengajian tinggi melalui pembukaan cawangan baru, cuma bahasa pengantar belum dipohon daripada kerajaan.

Mereka terus mengekang dan memperkasakan bahasa pengantar ibunda di peringkat sekolah untuk Matematik dan Sains sedangkan pemimpin Melayu bertungkus-lumus untuk mengembalikan semula bahasa Melayu yang telah dihilangkan oleh kita sendiri dan sehingga kini belum berjaya, akhirnya mereka mentertawakan kita atas kecelaruan Melayu sendiri. Salah siapa?

Akhirnya, yang penting bangsa Melayu hendaklah bersatu tanpa syarat dan perlu bermuhasabah terutama pemimpin yang merasakan diri terlalu kebal harus sedar diri bahawa perbuatan mereka akan tetap diadili.

Friday, August 15, 2008

Sisipan Pagi

Hadi lebih sesuai jadi PM

Assalamualaikum…

Saya amat teruja dan tertarik dengan statment yang dibuat oleh Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Mohd. Amar Nik Abdullah dan disusuli Datuk Mohamed Daud Iraqi selaku Ketua Dewan Ulama Pas Pusat berhubung kenyataan mereka yang tersiar di dalam Utusan Malaysia bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih sesuai dipilih untuk menjadi Perdana Menteri berbanding Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim jika pakatan pembangkang berjaya memerintah negara ini selepas 16 September depan.

Saya melihat kenyataan yang keluar dari mulut mereka ini merupakan satu pandangan dan cadangan yang amat ikhlas dan mencerminkan kehendak ahli-ahli akar umbi Parti Pas dan sebahagian daripada saf kepimpinan Parti Pas.

Selama ini, secara peribadi saya amat ternanti-nanti dan tertunggu-tunggu statement dari kalangan pimpinan PAS untuk menonjolkan KEPIMPINAN ALTERNATIF mereka seandainya terdapat perubahan lanskap politik negara dalam masa terdekat. Atau dalam erti kata lain sebagai ‘waiting PM’.

Bukan apa, secara peribadi dan mungkin di kalangan rakyat Malaysia, tidak bersetuju dengan sekutu dalam Pakatan Rakyat terutamanya PKR yang begitu excited sangat menonjolkan Penasihat Parti mereka saudara DS Anuar Ibrahim sebagai ‘waiting PM’.

Dan saya sebagai salah seorang penyokong gerakan Islam, amat terkilan juga dengan kepimpinan PAS yang sehingga kini tidak menonjolkan seorang pemimpin yang bakal menarajui kepimpinan negara suatu hari kelak…

Ini tidak, asyik-asyik Anwar Ibrahim-Anwar Ibrahim…

Bukankah dalam saf kepimpinan PAS, ramai tokoh yang berwibawa untuk diangkat sebagai pemimpin no. wahid dalam negara. Contohnya, Tuan Guru DS Abdul Hadi Awang, Nasharudin Mat Isa, Salahuddin Ayob, Datuk Kamarudin Jaafar atau baju petak-petak merah itu sendiri.

Dari segi psikologi, minda masyarakat Malaysia tak kira bangsa atau keturunan akan menganggap bahawa DS Anwar Ibrahim yang hanya layak mengambil teraju kepimpinan negara seperti yang diwar-warkan. Pada hal, kalau kita kaji dari sudut sejarah atau pun penerimaan masyarakat Malaysia terhadap Parti Pas… PAS lebih dominan dan mempunyai kekuatan yang telah bertapak kukuh lebih 50 tahun berbanding PKR yng boleh dianggap budak hingusan. PKR hanya menumpang nama atau berpaut dengan seorang nama yang bernama ANWAR IBRAHIM.

Bayangkan kalau ANWAR IBRAHIM sudah tiada…apa akan jadi dengan PKR dan PR itu sendiri….Sebab itulah, PAS kena berada di barisan hadapan dan bukan dipinggiran dalam menonjolkan seorang tokoh dalam memimpin negara suatu hari kelak…

Menyoroti perjalanan Muktamar PAS yang sedang berlangsung ketika ini, satu isyarat yang amat ketara dan berlegar di kalangan perwakilan ialah para Perwakilan sama ada Dewan Pemuda Pas atau Muslimat mahu pemimpin dan ahli parti itu berhenti daripada mengagung-agungkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga mengenepikan dan menafikan kebolehan serta keupayaan kepimpinan mereka sendiri.

Ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Dewan Pemuda, beberapa perwakilan mahukan supaya pemimpin utama Pas lebih ditonjolkan dan diberi peranan dalam pakatan pembangkang termasuk menjadi Perdana Menteri jika impian membentuk kerajaan pada 16 September ini menjadi kenyataan.

Menurut mereka, sikap segelintir pemimpin Pas yang terlalu mengagumi dan mengagungkan Anwar seolah-oleh tidak mengiktiraf keupayaan kepimpinan ulama dalam Pas.

Wakil Dewan Pemuda Pas Selangor, Zulkifli Ahmad berkata, jika pemimpin daripada parti lain dalam pakatan pembangkang yang menerajui negara, dibimbangi perjuangan Pas yang berlandaskan Islam akan dipinggirkan.

Cucu : Baru nak belajar melihat dunia…

Tuesday, August 12, 2008

PERTAHANKAN UITM

CADANGAN agar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dibuka kepada bukan bumiputera dengan peruntukan tempat sehingga 10 peratus adalah langkah terkebelakang dan cubaan untuk mencabar satu lagi antara hak keistimewaan Melayu. Kontrak sosial yang telah sekian lama terbina dan dipersetujui sejak penubuhannya pada tahun 1956 perlu dihormati dan dipertahankan sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Dalam hal yang melibatkan hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputra lain, sebarang kompromi tidak diperlukan. Ini adalah kerana UiTM adalah benteng terakhir institusi bijak pandai Melayu di negara kita di mana sejak sekian lama telah melahirkan ribuan jurutera, peguam, arkitek, akauntan, pengamal media, ahli perniagaan dan lain-lain lagi. Ramai di kalangan menteri Kabinet yang ada sekarang adalah graduan dan anak didik institusi keramat umat Melayu ini.

Cadangan untuk membawa masuk bukan bumiputera ke UiTM sebenarnya bukanlah perkara baru bahkan usaha ke arah itu telah bermula sebelum ini lagi. Desakan agar UiTM membuka pintu kepada bukan bumiputera kini giat dilakukan oleh golongan bukan Melayu dan orang Melayu sendiri yang tidak sensitif terhadap masa hadapan serta nasib bangsanya.

Tindakan ini sangat menyedihkan di samping membelakangkan falsafah serta objektif awal penubuhan UiTM selama 52 tahun dahulu.

Cadangan tersebut bersandarkan alasan bahawa 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan bumiputera serta pelajar asing akan dapat mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajarnya.

Ia juga dianggap sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan bumiputera yang lebih berdaya saing.

Hakikatnya kesemua alasan itu adalah tidak bertanggungjawab memandangkan UiTM bukanlah baru sepuluh atau dua puluh tahun ditubuhkan.

Sesungguhnya dalam persaingan yang semakin hebat dan sengit ini, umat Melayu memerlukan sebuah institusi khusus dan khas untuk menjana pemikiran serta pendidikan yang mana perlu diakui oleh semua kaum lain di negara ini tanpa sebarang rasa iri hati atau cemburu dengan sedikit keistimewaan yang masih ada ini.

Sekiranya dibenarkan UiTM dibuka kepada bukan Melayu dikhuatiri akan menyekat hak dan peluang orang Melayu dan bumiputra lain ke universiti kelak.

Tidak mustahil kaum lain juga akan memohon kuota yang lebih daripada 10 peratus pada masa hadapan.

Keadaan ini sangat membimbangkan setelah sekian banyak institusi Melayu runtuh dan 'diMalaysiakan' demi persefahaman kaum dan timbang rasa yang wujud sejak sekian lama. Oleh itu, adalah diharapkan agar hak dan keistimewaan eksklusif UiTM tidak diganggu gugat oleh sesiapa pun dan biarkanlah institusi ini bergerak seperti mana biasa agar usaha memperkasa umat Melayu dapat dilaksanakan dengan penuh amanah, sistematik dan diiktiraf semua pihak.

Sesiapa sahaja boleh memberi seribu alasan untuk membuka pintu UiTM kepada bukan Melayu, namun apa yang pasti ialah cadangan dan saranan berkenaan boleh disifatkan sebagai satu perangkap intelektual untuk menggadaikan keistimewaan yang telah diberikan kepada kaum Melayu dan bumiputera.

Ia juga jelas membuktikan wujudnya kelompok yang memandang rendah dan tidak lagi menghormati apa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan jika perkara ini dituruti.

ISLAM DICABAR LAGI...

WALAUPUN Majlis Peguam menganggap forum bertajuk 'Memeluk Islam' yang diadakan pada Sabtu lalu berjaya, namun ia boleh dianggap satu kenyataan yang semata-mata untuk menyedapkan hati sahaja.

Hakikatnya majlis itu sudah mendapat isyarat yang jelas bahawa seandainya mereka terus mengadakan forum yang menyentuh kepentingan dan kedudukan Islam maka mereka akan berhadapan dengan penentangan daripada orang Islam.

Kehadiran lebih 1,000 umat Islam di hadapan bangunan Majlis Peguam di mana forum berkenaan berlangsung sudah jelas membuktikan bahawa umat Islam tidak akan duduk diam seandainya ada pihak yang cuba memperkotak- katikkan agama suci tersebut. Justeru apa yang berlaku seharusnya menjadikan pengajaran kepada pihak-pihak lain agar jangan terlalu melampaui batas dalam tindakan mereka.

Sebelum ini sudah ada beberapa isu yang mengguris perasaan umat Islam tetapi umat Islam masih bersabar demi menjaga keselamatan dan keharmonian antara kaum.

Mungkin pihak yang berbuat demikian tersalah tafsir mengenai kekuatan perpaduan umat Islam apabila melihat keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu yang menyaksikan kedudukan kuasa politik Melayu agak tergugat.

Bagaimanapun mereka terlupa politik adalah politik tetapi dalam soal agama semua umat Islam di negara ini mengadap kiblat yang sama, oleh itu mereka pasti akan bersatu jika kedudukan itu diganggu gugat.

Hakikatnya, umat Islam bukanlah kelompok yang ganas atau sengaja hendak mencari fasal dengan kaum bukan Islam. Sejarah sudah membuktikan perkara ini, di mana umat Islam biarpun majoriti tetapi tidak pernah menindas kaum lain.

Tetapi malangnya sekarang ini ada pihak tertentu apabila sudah mendapat sedikit kuasa, sudah mula hendak menunjuk belang dengan menganggu gugat kedudukan orang Islam.

Bagi mereka, tindakan yang akan dilakukan tidak akan mampu ditentang oleh orang Islam yang dilihat berpecah belah akibat ideologi politik.

Namun apa yang berlaku pada majlis forum Majlis Peguam itu dengan jelas membuktikan bahawa perpaduan Islam tetap utuh biarpun fahaman politik antara umat Islam berbeza.

Kita bukanlah berhasrat untuk memanjangkan isu yang berlaku tetapi adalah diharapkan selepas ini semua pihak sama ada Islam atau bukan Islam akan lebih berhati-hati dalam tindakan mereka.

Kita sudah diajar sejak 50 tahun lalu bahawa dalam negara majmuk seperti Malaysia, persoalan mengenai agama dan bangsa adalah dua topik yang cukup berbahaya kalau diganggu gugat.

Ia boleh mencetuskan rusuhan antara kaum dan agama. Rakyat negara ini tanpa mengira siapapun mereka harus mengambil iktibar daripada peristiwa di beberapa negara yang menyaksikan bagaimana apabila isu agama dan bangsa disentuh maka tercetus perbalahan kaum yang tidak dapat dikawal. Keadaan itu akhirnya hanya merugikan negara berkenaan.

Justeru kita di Malaysia juga harus benar-benar memahami perkara ini. Janganlah cuba menjadi jaguh dalam isu yang menyentuh kedudukan bangsa dan kaum lain kerana ia pasti mengundang padah.

KebebasanSemua pihak perlu menghormati perjanjian yang dipersetujui ketika kita mencapai kemerdekaan dan bukannya cuba mencabulinya atas alasan kebebasan bersuara, demokrasi atau mencari titik penyelesaian.

Kebebasan bersuara bukan bererti kita harus mencampuri urusan agama lain, demokrasi bukan bermakna kita perlu bertindak melampaui batas perkauman dan mencari titik penyelesaian bukan bermaksud kita boleh membincangkan sesuatu yang sensitif sehingga menggugat keselamatan awam.

Berdasarkan hakikat itu adalah perlu Majlis Peguam atau mana-mana juga pi- hak yang sejak kebelakangan ini semakin ingin menunjukkan belang atau kuasa mereka belajar untuk mengamalkan demokrasi secara berhemah dan bukannya berasaskan kepada apa-apa sentimen.

Adalah tidak munasabah jika mana- mana pihak mendakwa apa yang mereka lakukan tidak salah sedangkan mereka tahu isu atau perkara yang mereka bangkitkan adalah sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan dari segi hubungan kaum dan keharmonian antara agama.

Tidak payahlah hendak menunjukkan kuasa dengan bermain dengan isu-isu seumpama itu kerana tindakan sedemikian hanyalah mengundang bahaya.

Kepada orang Melayu pula, mereka perlu menjadikan apa yang dilakukan oleh Majlis Peguam sebagai iktibar bahawa inilah akibatnya jika kita dilihat tidak bersatu dan berpecah belah.

Bagaimanapun perpaduan Islam yang ditunjukkan Sabtu lalu boleh dianggap sesuatu yang menggembirakan kerana selepas pilihan raya umum lalu ada pandangan sinis bahawa umat Islam tidak akan bersatu kerana berpecah belah akibat politik.

Sebenarnya, Islam sendiri membenarkan kita berbeza pendapat malah berbeza fahaman politik bukanlah satu dosa tetapi apabila ada perkara yang memerlukan kita bersatu, maka kita harus berada di saf yang sama, tanpa perbalahan, tanpa pertikaian.

Kita perlu berada di barisan hadapan demi mempertahankan agama dan kepentingan bangsa kita agar ia tidak diperolok-olokkan oleh mana-mana pihak.

Mungkin benar, kita dilihat begitu bertegang leher dalam soal politik, malah akibat daripada perbezaan politik inilah juga ia memberi kesempatan kepada pihak lain untuk 'bermaharajalela' dan mengambil kesempatan bagi mencapai cita-cita politik mereka.

Tetapi apa yang diharapkan kita tidak mengorbankan ukhuwah Islamiah yang diperintah oleh Allah melalui firman- Nya dalam surah Ali Imran ayat 103 yang meminta semua umat Islam berpegang teguh dengan tali (agama) Allah dan jangan bercerai berai.

Semoga semangat yang ditunjukkan oleh umat Islam dalam isu forum 'Memeluk Islam' itu akan terus kekal kerana kita yakin 'kebenaran luar biasa' yang cuba ditunjukkan oleh pihak-pihak tertentu pasti tidak akan berakhir di situ sahaja.

Selepas ini kita yakin ada lagi pihak yang akan terus berusaha menguji kesabaran orang Melayu dan umat Islam tetapi dalam masa yang sama mereka juga perlu diperingatkan, 'sarang tebuan jangan dijolok' kerana padahnya amat buruk.