Tuesday, June 24, 2008

PERCATURAN POLITIK SABAH....KE MANA ARAHNYA?

Tiga hari berlalu sesi ke-2 sidang Parlimen berlangsung, belum ada ura-ura atau mana-mana pihak yang mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri DS Abdullah Badawi. Sungguhpun sebelum itu, heboh satu dunia apabila Parti SAPP Pimpinan Datuk YTL telah mengisytiharkan dalam satu sidang akhbar untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri DS Abdullah Badawi.

Dari segi perkiraan politik, sudah semestinya ramai yang panas punggung terutamanya parti yang memerintah apabila berhadapan dengan situasi ini, apatah lagi keadaan ini akan menjadi catatan sejarah kerana situasi sedemikian belum pernah berlaku sebelumnya. saya percaya walau bagaimanapun kerajaan marah kepada tindakan SAPP, saya rasa BN atau sesiapa saja yang memerintah akan memerhatikan dakwaan yang dibuat termasuk isu pendatang haram, kemiskinan dan pembangunan tidak seimbang yang berlaku di Sabah akan diberikan perhatian yang semaksimanya selepas peristiwa ini.

Walaupun usul undi tak percaya ini akan dibawa atau diusulkan di parlimen, namun saya yakin ia akan menemui jalan buntu dan pihak pemerintah pasti akan sedaya upaya untuk mempertahankan kerajaan yang sedia ada. Walaubagai manapun, kesan yang timbul daripada peristiwa ini ialah rakyat Sabah akan diberi perhatian serius dan jika bertujuan mewujudkan sentimen menentang BN, ia sebenarnya tidak akan memberi kesan besar kerana isu dibawa oleh SAPP.

Tetapi ia akan memberi kesan besar jika usul itu dibawa oleh Ketua Menteri Sabah seperti yang berlaku pada zaman PBS, sedangkan ketika ini SAPP hanya mempunyai dua wakil di Parlimen.

Di sebalik gegaran akibat tindakan yang di buat oleh SAPP ini, saya amat tertarik melihat kepada maklum balas segera Menteri Besar Selangor, dan Penasihat Pakatan Rakyat, (Datuk Seri Anwar Ibrahim), saya amat percaya keberanian Datuk YTL dan SAPP mengambil tindakan sedemikian setelah berlakunya pembabitan pakatan pihak ketiga.

Saya rasa kewujudan sang 'gergasi' di belakang SAPP memang ada dan sang 'gergasi' itulah yang telah membuat percaturan yang teliti. Mungkin ada pakatan atau strategi lain atau dalam kata mudah, ia sama seperti permainan catur iaitu bidak (buah catur yang paling rendah nilainya) akan jalan dulu.

Ada satu permainan besar di luar sana dan satu perang saraf lebih besar mula menular. Jika diteliti, dulu pembangkang hanya katakan mereka ada sokongan tetapi sekarang sudah ada yang menyuarakan secara terbuka.

Keadaan ini akan mewujudkan keadaan serba salah atau 50-50 sama ada nak sokong atau kekal dengan apa yang ada sekarang. Sasaran mereka ialah golongan atas pagar yang sentiasa mahu berada dalam pasukan menang dengan memilih jalan selamat.

Persoalannya..seandainya pihak pemerintah yang ada sekarang boleh dijatuhkan dan diganti dengan PR, apakah jaminan hak dan segala permasalahan yang timbul di negeri Sabah boleh di penuhi segalanya. Atau negeri Sabah, bakal dipimpin oleh satu kuasa pemerintah yang menjadi boneka kepada SANG PENGUASA GERGASI...

No comments: