Tuesday, August 12, 2008

ISLAM DICABAR LAGI...

WALAUPUN Majlis Peguam menganggap forum bertajuk 'Memeluk Islam' yang diadakan pada Sabtu lalu berjaya, namun ia boleh dianggap satu kenyataan yang semata-mata untuk menyedapkan hati sahaja.

Hakikatnya majlis itu sudah mendapat isyarat yang jelas bahawa seandainya mereka terus mengadakan forum yang menyentuh kepentingan dan kedudukan Islam maka mereka akan berhadapan dengan penentangan daripada orang Islam.

Kehadiran lebih 1,000 umat Islam di hadapan bangunan Majlis Peguam di mana forum berkenaan berlangsung sudah jelas membuktikan bahawa umat Islam tidak akan duduk diam seandainya ada pihak yang cuba memperkotak- katikkan agama suci tersebut. Justeru apa yang berlaku seharusnya menjadikan pengajaran kepada pihak-pihak lain agar jangan terlalu melampaui batas dalam tindakan mereka.

Sebelum ini sudah ada beberapa isu yang mengguris perasaan umat Islam tetapi umat Islam masih bersabar demi menjaga keselamatan dan keharmonian antara kaum.

Mungkin pihak yang berbuat demikian tersalah tafsir mengenai kekuatan perpaduan umat Islam apabila melihat keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu yang menyaksikan kedudukan kuasa politik Melayu agak tergugat.

Bagaimanapun mereka terlupa politik adalah politik tetapi dalam soal agama semua umat Islam di negara ini mengadap kiblat yang sama, oleh itu mereka pasti akan bersatu jika kedudukan itu diganggu gugat.

Hakikatnya, umat Islam bukanlah kelompok yang ganas atau sengaja hendak mencari fasal dengan kaum bukan Islam. Sejarah sudah membuktikan perkara ini, di mana umat Islam biarpun majoriti tetapi tidak pernah menindas kaum lain.

Tetapi malangnya sekarang ini ada pihak tertentu apabila sudah mendapat sedikit kuasa, sudah mula hendak menunjuk belang dengan menganggu gugat kedudukan orang Islam.

Bagi mereka, tindakan yang akan dilakukan tidak akan mampu ditentang oleh orang Islam yang dilihat berpecah belah akibat ideologi politik.

Namun apa yang berlaku pada majlis forum Majlis Peguam itu dengan jelas membuktikan bahawa perpaduan Islam tetap utuh biarpun fahaman politik antara umat Islam berbeza.

Kita bukanlah berhasrat untuk memanjangkan isu yang berlaku tetapi adalah diharapkan selepas ini semua pihak sama ada Islam atau bukan Islam akan lebih berhati-hati dalam tindakan mereka.

Kita sudah diajar sejak 50 tahun lalu bahawa dalam negara majmuk seperti Malaysia, persoalan mengenai agama dan bangsa adalah dua topik yang cukup berbahaya kalau diganggu gugat.

Ia boleh mencetuskan rusuhan antara kaum dan agama. Rakyat negara ini tanpa mengira siapapun mereka harus mengambil iktibar daripada peristiwa di beberapa negara yang menyaksikan bagaimana apabila isu agama dan bangsa disentuh maka tercetus perbalahan kaum yang tidak dapat dikawal. Keadaan itu akhirnya hanya merugikan negara berkenaan.

Justeru kita di Malaysia juga harus benar-benar memahami perkara ini. Janganlah cuba menjadi jaguh dalam isu yang menyentuh kedudukan bangsa dan kaum lain kerana ia pasti mengundang padah.

KebebasanSemua pihak perlu menghormati perjanjian yang dipersetujui ketika kita mencapai kemerdekaan dan bukannya cuba mencabulinya atas alasan kebebasan bersuara, demokrasi atau mencari titik penyelesaian.

Kebebasan bersuara bukan bererti kita harus mencampuri urusan agama lain, demokrasi bukan bermakna kita perlu bertindak melampaui batas perkauman dan mencari titik penyelesaian bukan bermaksud kita boleh membincangkan sesuatu yang sensitif sehingga menggugat keselamatan awam.

Berdasarkan hakikat itu adalah perlu Majlis Peguam atau mana-mana juga pi- hak yang sejak kebelakangan ini semakin ingin menunjukkan belang atau kuasa mereka belajar untuk mengamalkan demokrasi secara berhemah dan bukannya berasaskan kepada apa-apa sentimen.

Adalah tidak munasabah jika mana- mana pihak mendakwa apa yang mereka lakukan tidak salah sedangkan mereka tahu isu atau perkara yang mereka bangkitkan adalah sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan dari segi hubungan kaum dan keharmonian antara agama.

Tidak payahlah hendak menunjukkan kuasa dengan bermain dengan isu-isu seumpama itu kerana tindakan sedemikian hanyalah mengundang bahaya.

Kepada orang Melayu pula, mereka perlu menjadikan apa yang dilakukan oleh Majlis Peguam sebagai iktibar bahawa inilah akibatnya jika kita dilihat tidak bersatu dan berpecah belah.

Bagaimanapun perpaduan Islam yang ditunjukkan Sabtu lalu boleh dianggap sesuatu yang menggembirakan kerana selepas pilihan raya umum lalu ada pandangan sinis bahawa umat Islam tidak akan bersatu kerana berpecah belah akibat politik.

Sebenarnya, Islam sendiri membenarkan kita berbeza pendapat malah berbeza fahaman politik bukanlah satu dosa tetapi apabila ada perkara yang memerlukan kita bersatu, maka kita harus berada di saf yang sama, tanpa perbalahan, tanpa pertikaian.

Kita perlu berada di barisan hadapan demi mempertahankan agama dan kepentingan bangsa kita agar ia tidak diperolok-olokkan oleh mana-mana pihak.

Mungkin benar, kita dilihat begitu bertegang leher dalam soal politik, malah akibat daripada perbezaan politik inilah juga ia memberi kesempatan kepada pihak lain untuk 'bermaharajalela' dan mengambil kesempatan bagi mencapai cita-cita politik mereka.

Tetapi apa yang diharapkan kita tidak mengorbankan ukhuwah Islamiah yang diperintah oleh Allah melalui firman- Nya dalam surah Ali Imran ayat 103 yang meminta semua umat Islam berpegang teguh dengan tali (agama) Allah dan jangan bercerai berai.

Semoga semangat yang ditunjukkan oleh umat Islam dalam isu forum 'Memeluk Islam' itu akan terus kekal kerana kita yakin 'kebenaran luar biasa' yang cuba ditunjukkan oleh pihak-pihak tertentu pasti tidak akan berakhir di situ sahaja.

Selepas ini kita yakin ada lagi pihak yang akan terus berusaha menguji kesabaran orang Melayu dan umat Islam tetapi dalam masa yang sama mereka juga perlu diperingatkan, 'sarang tebuan jangan dijolok' kerana padahnya amat buruk.

No comments: