Monday, August 25, 2008

JALUR GEMILANG KU.....

Antara Cetusan Minda Sihat...atau Idea GILA....


SAYA amat terkejut apabila ada cadangan supaya bendera negara, Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik sebagai menunjukkan rasa tidak puas hati kepada negara dengan apa yang berlaku sekarang. Kepada saya ini adalah saranan gila daripada seseorang yang tidak bermaruah, dengki hati, dan 'hampas' negara. Satu saranan yang tidak wajar sama sekali dipakai dan diikuti walau di mana jua pun kita berada. Kita boleh sifatkan ia saranan daripada seorang musuh negara yang mahu masyarakat negara ini hilang hormat kepada simbol kemegahan negara.

Kenapa ada rakyat Malaysia yang berfikiran begini? Orang yang menyarankan hal-hal begini sepatutnya tidak lagi berada di negara ini. Menterbalikkan bendera negara bermakna menterbalikkan negara ini. Negara yang terbalik akan hancur. Mengapa ada cadangan demikian yang lahir dari lubuk hati rakyat negara ini? Apakah negara kita sudah begitu buruk hingga lahir pandangan yang demikian? Apakah negara kita sudah cukup zalim hingga hak rakyat dinafikan atau nyawa rakyat diambil secara mudah. Apakah rakyat Malaysia sekarang di dalam kebuluran hingga mereka begitu marah kepada kerajaan? Apakah ada rakyat disumbat ke penjara sewenang-wenangnya?

Pendatang asing tanpa izin (PATI) pun tahu menghormati bendera Malaysia. Inikan pula rakyat tempatan di mana mereka lahir, dibesarkan dan menikmati segala kemudahan yang diberikan. Manusia jenis apakah ini? Sebak, pilu, sedih, duka dan berang apabila mengenangkan segelintir manusia yang tidak menghargai negaranya. Bendera Malaysia telah diangkat dengan persetujuan raja-raja, ia simbol kedaulatan. Menterbalikkan bendera bermakna menterbalikkan sistem beraja. Apakah kita bersedia membuang raja-raja kita?

Orang-orang begini tiada kesedaran sivik sama sekali atau dalam bahasa kasarnya tidak 'bertata rakyat'. Cadangan yang kurang siuman ini mesti ditentang oleh rakyat Malaysia yang cintakan negara. Penulis blog yang mencadangkan supaya mengibarkan bendera terbalik mesti memohon maaf kepada raja-raja dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Orang-orang sebegini tidak harus berada di dalam negara ini.

Ingatlah, kita harus pisahkan rasa tidak puas hati kita kepada pemerintah jika ada, dengan rasa cinta kita kepada negara. Rasa tidak puas hati kepada pemerintah mungkin telah diterjemahkan dalam bentuk undi. Hasilnya ialah apa yang kita lihat pada hari ini.

Pembangkang telah memerintah lima negeri. Mengapa ada cadangan tidak siuman supaya bendera diterbalikkan bagi menyambut hari kemerdekaan negara kita ini.

Ingatlah orang 'Barbarian' sekalipun cinta kepada benderanya. Kalau mereka berperang, bendera mereka akan mereka julang. Malah pahlawan-pahlawan Islam juga menjulang bendera ketika perang. Kalau bendera jatuh akan disambut pula oleh pahlawan lain. Namun membiarkan bendera jatuh ke tanah tidak sama sekali.

Oleh itu rakyat Malaysia, atas rasa keinsafan, marilah kita sama-sama mengibarkan bendera dengan cara yang betul, bertatatertib dan bertamadun. Jalur Gemilang adalah simbol kemegahan bangsa. Selamat menyambut kemerdekaan negara. Allah Selamatkan Bumiku Malaysia!

No comments: