Monday, August 18, 2008

RENUNG-RENUNGKAN....

TERANCAMKAH ISLAM, MELAYU & BUMIPUTRA

Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak yang memperkatakan dan menguji kedaulatan Islam dan hak Melayu baik dari segi pemikiran dan ujian-ujian yang masih lagi berterusan semenjak Malaysia merdeka dan bukan selepas pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 seperti yang diuar- uarkan.

Fenomena ini akan berterusan selagi kaum-kaum yang menetap di bumi bertuah merasa dihimpit atau dianaktirikan baik orang Melayu atau bukan Melayu.

Hakikatnya, Melayu Islam mulai rasa tergugat baik semasa forum 'Memeluk Islam' anjuran Majlis Peguam atau perhimpunan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) atas protes kepada Menteri Besar Selangor kerana ingin membuka UiTM kepada bukan Melayu.

Pemimpin Melayu harus sedar dengan dasar pelajaran yang semakin global, kenyataan MB Selangor tidak banyak beza dengan arahan Menteri Pelajaran pada suatu masa dulu ingin menutup Pusat Asasi Sains Universiti Malaya dan dalam masa yang sama membuka seluas-luasnya penubuhan IPTS yang kebanyakan institusi tersebut dimonopoli oleh bukan Melayu.

Begitu juga dengan kuota 10 peratus pelajar bukan Melayu ke dalam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebanyak 45 peratus kepada bukan Melayu.

Sekarang pun, di dalam IPTA yang ada - atas dasar meritokrasi yang dipersetujui oleh pemimpin Melayu memperlihatkan majoriti pelajar IPTA dikuasai oleh bukan Melayu. Contohnya, Universiti Malaya, di era tahun 1978 sehingga 1986, kolej kediaman universiti dipenuhi oleh bumiputera 70 peratus dan bukan bumiputera 30 peratus. Sekarang menjadi sebaliknya semenjak meritokrasi yang diwujudkan oleh pemimpin Melayu yang lahir dan berjaya melalui sistem 'kuota'.

Jadi tidak menghairankan mengapa bukan Melayu tidak lagi bersuara lantang ingin mewujudkan 'Universiti Merdeka' pada suatu masa dulu kerana mereka kini mempunyai berpuluh-puluh 'institusi dan kolej merdeka.'

Hak-hak bumiputera dan hak Melayu akan terus dipertikai selagi kedudukan Melayu terutama yang berkuasa baik di peringkat pusat atau pemimpin negeri ingin terus mengambil hati mereka semenjak kaedah 'jus soli' diperkenalkan.

Kaum bumiputera sepatutnya menyanjung tinggi jasa Allahyarham Tun Abdul Razak yang menambah biak sekolah berasrama penuh (SBP) melalui pewujudan sekolah menengah sains di setiap negeri selepas berlaku peristiwa 13 Mei 1969, untuk melahirkan Melayu bijak pandai bagi mengimbangi ketidaksamaan ekonomi melalui pendidikan dan seterusnya mewujudkan Institut Teknologi Mara, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Pertanian Malaysia bagi menampung pelajar ini sehingga bukan bumiputera pun mahu wujudkan juga 'Universiti Merdeka' tetapi kerajaan hanya membenarkan kelahiran Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR).

Tapi atas sifat murah hati dan sentiasa menjaga hati kaum lain, kita sekarang ini sudah membuka seluas-luasnya kepada bukan bumiputera untuk pendidikan dan kini mereka telah menguasai pula sebahagian besar kuasa sistem politik bukan melalui pemimpin mereka tetapi melalui pemimpin Melayu kita sendiri.

Walhasil kita dapat lihat sekarang ini sistem politik juga dialibabakan macam kontrak pembinaan.

Kerajaan seharusnya mengambil iktibar bahawa golongan ini akan terus memainkan sentimen selagi mereka berupaya. Dan saya yakin suatu hari nanti mereka akan berjaya. Kaum bukan bumiputera kini hanya tunggu dan lihat.

Mereka menguasai ekonomi tanpa memberi ruang kepada bumiputera untuk berkongsi secara total, mereka menguasai sistem penyiaran swasta dengan memperbanyakkan siaran bahasa mereka di dalam setiap saluran, mereka memperbanyakkan institusi pengajian tinggi melalui pembukaan cawangan baru, cuma bahasa pengantar belum dipohon daripada kerajaan.

Mereka terus mengekang dan memperkasakan bahasa pengantar ibunda di peringkat sekolah untuk Matematik dan Sains sedangkan pemimpin Melayu bertungkus-lumus untuk mengembalikan semula bahasa Melayu yang telah dihilangkan oleh kita sendiri dan sehingga kini belum berjaya, akhirnya mereka mentertawakan kita atas kecelaruan Melayu sendiri. Salah siapa?

Akhirnya, yang penting bangsa Melayu hendaklah bersatu tanpa syarat dan perlu bermuhasabah terutama pemimpin yang merasakan diri terlalu kebal harus sedar diri bahawa perbuatan mereka akan tetap diadili.

No comments: