Wednesday, September 17, 2008

MATA HATI ANDA...

MEMETIK kata-kata pelukis tersohor di zaman pembaharuan, Leonardo da Vinci, katanya manusia ini ada tiga kelas. Pertama, mereka yang melihat, kedua, mereka yang melihat apabila ditunjuk dan ketiga, mereka yang tidak melihat.

Menarik petikan itu. Banyak yang boleh difikirkan dengan kata-kata tersebut. Dan sudah tentulah yang paling teruk ialah yang ketiga, iaitu mereka yang tidak melihat. Bukan kerana mata mereka buta, tapi sengaja mereka tidak mahu ambil tahu. Orang buta pun mempunyai mata hati dan naluri untuk melihat, inikan pula yang celik. Yang kedua pun sama teruk juga, iaitu mereka hanya akan ambil tahu apabila ditunjukkan di depan mata mereka. Orang jenis ini ialah orang yang tiada perasaan, tidak endah atau dalam istilah kasar, pemalas.

Seperti yang dikatakan tadi, banyak intrepretasi dan tafsiran yang boleh dibuat daripada kata-kata mudah pelukis Mona Lisa dan The Last Supper itu. Mata ini lazimnya berkait rapat dengan perasaan, akal dan tindakan. Jika kita melihat wanita cantik atau jejaka tampan, umpamanya, naluri kita akan melonjak. Itu adalah fitrah lahiriah dan jasmaniah manusia. Jika sesiapa cuba menafikannya, mereka adalah pendusta, atau jika mereka sengaja menafikannya, mereka adalah munafik. Pendek kata, ia semua ada kaitan dengan mata.

Apa kata jika dikaitkan petikan menarik itu dengan suasana politik semasa tanah air. Terus terang dikatakan, jika saya seorang saintis politik, inilah masa yang amat menarik sekali bagi melihat, mengkaji, mentafsir dan merasai suasana itu. Dalam konteks Malaysia, bukan seperti di Thailand, Jepun mahupun Taiwan, suasana itu datang sekali dalam sekian lama.

Di depan kita sekarang ialah suasana politik UMNO yang menjadi perbualan saban hari. Semua orang bercakap mengenainya, daripada isu kecil seperti pemilihan cawangan dan bahagian kepadalah isu besar di peringkat tertinggi dan peralihan kuasa. Begitu jugalah soal tindakan Pakatan Rakyat pimpinan Anwar Ibrahim, yang cuba 'menawan' Malaysia, juga menjadi buah mulut popular. Tidak henti-henti mereka bercakap mengenai politik, politik dan politik. Orang sudah lupa mengenai kenaikan harga minyak atau apa yang berlaku di negara orang lain.

Bagaimana kita melihat suasana itu? Bagi orang biasa, suasana politik sekarang dilihat dengan penuh teruja, rimas, menarik, sedih, gembira, berkobar-kobar. Bagi pemimpin pula, ada yang berdebar-debar, resah gelisah - mungkin kerana kedudukan akan hilang, pengaruh akan tercalar atau mungkin akan dipaksa turun atau negara akan tergadai. Inilah senario antara rakyat dan pemimpin. Bagi rakyat yang boleh melihat antara mata dan mata hati - mereka berupaya melihat kedua-dua senario itu. Mereka melihat sambil berfikir.

Saya tidak pasti di kedudukan mana rakyat Malaysia kini berada. Adakah mereka sedang berfikir seperti orang biasa, sebagai seorang pemimpin atau kedua-duanya sekali.

Bagaimana rakyat Malaysia menilai apa yang berlaku di sekeliling mereka sebenarnya amat penting demi kebaikan negara itu sendiri. Adakah mereka melihat apa yang orang lain nampak itu keburukan dan ancaman, sebagai satu kelebihan dan keuntungan kepada mereka?

Ada yang gemar melihat berlakunya pertikaian sehingga berputih mata. Ada yang suka bersorak walaupun "kampung tergadai" dan lebih hebat lagi ada yang tidak kisah jika taktik kotor digunakan asalkan "matlamat menghalalkan cara. "Orang Putih menggelarkan itu semua sebagai collateral damage - kerana ada pihak tidak kisah apa yang orang lain alami akibat tindakan mereka.

Apabila Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, misalnya berentap dalam pemilihan Presiden UMNO dulu - parti itu terbelah dua dan sampai sekarang kesannya, Kelantan gagal diambil alih oleh BN. Walaupun kini mereka sudah kembali bersahabat baik, kesannya terhadap apa yang berlaku sudah dilupai.

Sebaliknya, tumpuan kini ialah untuk melihat dengan penuh debaran apakah yang akan berlaku dalam pemilihan hujung tahun ini, mahupun pemilihan bahagian Oktober ini.

Orang juga melihat apakah ada pemimpin yang akan beralah, bagi memberi peluang berlakunya peralihan lancar? Perlu diingat masing-masing mempunyai pengikut diehard (totok) yang sanggup melakukan apa saja demi pemimpin mereka.

Begitu juga dengan rancangan Anwar mahu mengambil alih negara ini. Apa cara sekalipun, beliau tidak kisah asalkan matlamat menghalalkan tindakannya. Seperti juga yang lain, beliau juga mempunyai pengikut yang sanggup bermatian untuknya.

Senario ini sedang diperhatikan oleh rakyat Malaysia dan orang luar dengan penuh minat. Ada orang berkata "kerajaan sekarang sedang di akhir batuannya" dan ada juga yang berkata, "kerajaan baru pula masih jauh ribuan batu."

Akhir kata, janganlah kita jadi seperti orang yang menengok tanpa melihat, menyentuh tanpa berasa dan berkata tanpa berfikir. Melihatlah apa yang berlaku di keliling kita dengan penuh rasional dan kesedaran demi agama, bangsa dan negara.

No comments: