Saturday, February 7, 2009

POLITIK TAK BERMARUAH......!!!!!!






ITULAH POLITIK


Kelmarin diberitakan Iran melancarkan satelit mereka yang pertama, tujuannya adalah semata-mata untuk perkembangan komunikasi. Namun berita-berita di UK sudah bersangka buruk dengannya, dengan memberikan gambaran Iran akan menggunakannya untuk tujuan ketenteraan. Isu tenaga nuklear sudah lama dibincangkan. Peliknya, mengapa Israel dibenarkan menggunakan dan menyimpan senjata nuklear, demikian Amerika, dan lain-lain Negara besar dibenarkan tanpa banyak soal boleh menyekat kebebasan sebuah Negara lain seperti Iran dan Korea. Mudah jawapannya, ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', orang kata ‘tidak adil' dan lain-lain.

Apabila terang-terang, Yahudi Zionis melakukan jenayah kemanusiaan apabila membunuh begitu ramai orang awam di Palestin. Mereka tidak dikutuk teruk, Presiden Obama dan sekutunya seolah-olah BUTA, dan terus mengemukan hujjah-hujjah yang kelihatan ‘amat kurang aqal' dan melucukan. Orang akan kata, ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', ‘tidak adil' dan lain-lain.

Apabila beberapa pemimpin dan ahli sebuah parti Islam yang menentang habis-habisan sebuah parti kebangsaan yang disebutnya kafir dan munafik. Tiba-tiba melompat ke parti yang dikatakan munafiq. Juga dengan ‘hujah tahap tadika'. Orang kata ..ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', ‘tidak adil' dan ‘jilat ludah sendiri' dan lain-lain.

Apabila seorang bekas ketua gerakan orang muda sebuah parti yang mendokong ‘perubahan' dan anti rasuah, dahulunya HEBAT ya AMAT HEBAT membantai beserta sumpah dan kotak-kotak bukti rasuah orang daripada parti yang ditentangnya. Tiba-tiba tidak semena-mena membawakan hujjah ‘tadikal lalu melompat kepada parti lawannya. Orang kata..ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', ‘tidak adil', ‘jilat ludah sendiri', ‘tiada maruah' dan lain-lain. Pedulilah apa orang nak kata.

Seorang wakil rakyat melompat parti dari A kepada parti B, dalam tempoh beberapa hari, apabila dirasakan keadaan tidak selamat bagi dirinya, melompat semula kepada parti A. Dikemukan beberapa hujjah ‘t tadika' juga. Lalu dirasakan dirinya telah berjaya menjustifikasikan tindakan ‘beraqal tadikanya'. Orang kata, ITULAH POLITIK!

Beberapa orang lagi, tidak melompat ke parti lain, tetapi melompat juga, melompat ke parti tiada cap. Diri sedang diteliti akibat kes-kes rasuah, termasuk rasuah seks. Tetapi seolah gentleman yang bijak pandai, menjustifikasikan tindakannya dengan hujah ‘tadika'. Tidak segankah mereka? Orang kata, ITULAH POLITIK! Tiada yang malu dalam politik? Semua boleh buat asalkan boleh manfaat untuk diri, peduli orang lain.?

BODOH SANGAT RAKYAT DI MATA AHLI POLITIK?

Tidak sedarkah individu-individu seperti yang disebut di atas, betapa hina mereka di sisi mata orang ramai?. Atau terlalu bodohkah orang ramai di mata mereka.? sehingga boleh didatangkan dengan hujjah-hujjah versi ‘tiada aqal', lalu tersenyum lebar menyangka semua orang masih menghormatinya luar dalam.

Sedangkan manusia yang reti, faham dan ‘ada aqal', memandangkan dengan pandangan busuk. Orang busuk sedang berjalan, orang busuk sedang bercakap, sedang menghadiri mesyuarat.

Kita kerap mengganggap POLITIK sebagai tiket atas segala kepelikan hasil perlakuan orang politik.

Seeloknya, jangan lagi diletakkan beban dan sebab kepada POLITIK apabila ingin melakukan sesuatu yang TIDAK BERMORAL, TIADA MARUAH dalam industri politik. Beritahu sahaja sedemikian.

"Saya rasuah sana sini, tipu sana tipu sini, buat ini, buat itu, lompat sana, lompat sini sebenarnya KERANA SAYA INI TIADA MARUAH, TIADA MALU DAN TAMAKKAN DUNIA "

Amati sekali lagi bagaimana politik Khalifah Umar al-Khattab r.a dalam tulisan saya sebelum ini. Betul, banyak dilakukan atas dasar politik, tetapi politik yang didasari malu terhadap Allah swt dan sedar rakyatnya punyai hak besar untuk meneliti dirinya.

Adakah ahli politik tidak perasan bahawa seribu satu macam jenayah mereka sebenarnya adalah 'open secret' di kalangan rakyat.? Cuma gagal di buktikan di mahkamah dunia sahaja, kerana itu masih bebas.

Lihat sahaja rumah ahli politik sebelum dan selepas, padahal gaji dan elaun sebagai ahli parlimen Malaysia hanya sekitar RM 10,000 dan ADUN sekitar RM 8,000.

Lihat pula rumah dan harta pegawai atasan kerajaan termasuk Polis. Cubalah jenguk dan tinjau rumah mereka dan lihat gaya hidupnya. Jika ada Umar al-Khattab, pastinya tercabut semuanya.

KERAJAAN NEGERI PERAK

Semasa saya menulis artikel ini, belum ada keputusan dari pihak Sultan sama ada untuk memperkenankan pembubaran DUN atau tidak. Namun, adalah sangat bijak jika diperkenankan pembubaran bagi menyapu bersih muka-muka yang tiada ‘malu' DENGAN PERLAKUAN SALAH MEREKA atau yang juga sedang merendahkan minda dan hak rakyat di negeri mereka.

Sangat elok kiranya, rakyat diberi peluang semula untuk memilih pemimpin mereka agar individu tiada parti diganti dengan yang ada parti. Yang melompat-lompat diganti dengan yang tidak melompat. Amat diharap DUN boleh dibubarkan. Ia saya kira keputusan yang terbaik di mata pemerhati awam khususnya saya.

Bagi saya, kes di Perak sebenarnya membuktikan betapa ‘TIDAK TAHU MALUNYA' sebahagian orang-orang politik di Malaysia. Seolah tidak lagi mereka mengendahkan perasaan, kebencian dan minda rakyat.

Tiada lagi malu untuk berbuat apa sahaja atas nama politik. Yang penting boleh dijustifikasikan walaupun dengan hujjah tidak beraqal.

INILAH POLITIK TIDAK TAHU MALU namanya dan politik hina dan membawa kepada kehinaan dan tiada maruah. Nabi s.a.w pernah menyebut kita PERLU MALU, kerana malu adalah agama, dengan terang lagi jelas baginda menyebut :-

إن مما أدرك الناس من كلام النبوة الأولى إذا لم تستح فاصنع ما شئت

Erti : Sesungguhnya, perkara yang telah diketahui ramai dari perkataan nabi-nabi awal dahulu adalah : Apabila kamu tidak lagi mempunyai perasaan malu, kamu buatlah ( akan berbuat) apa sahaja ( Riwayat Al- Bukhari)

Dan satu lagi :

الحياء خير كله

Ertinya : Perasaan malu itu semuanya (membawa) kebaikan (riwayat Muslim)

dan sebuah lagi hadis menjelaskan :-



قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( استحيوا من الله حق الحياء ) ، قلنا : يا رسول الله إنا نستحيي والحمد لله ، قال : ( ليس ذاك ، ولكن الاستحياء من الله حق الحياء أن تحفظ الرأس وما وعى ، والبطن وما حوى ، ولتذكر الموت والبلى ، ومن أراد الآخرة ترك زينة الدنيا ، فمن فعل ذلك فقد استحيا من الله حق الحياء )

Ertinya : Ibn Mas'ud menceritakan : Rasul bersabda : berasa malulah dengan Allah SWT DENGAN sebenar-benar erti malu, sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah pun berasa malu itu Alhamdulillah,

Baginda menjawab : Bukan demikian, tetapi malu kepada Allah swt yang sebenar-benarnya adalah dengan menjaga kepalamu dan setiap apa yang di dalam pemikiranmu, menjaga perutmu dan setiap apa yang diingininya, dan perbanyakkan ingatan kepada mati dan kehancuran, barangsiapa yang inginkan Akhirat, bakal meninggalkan perhiasan dunia (tidak ditipu dengan kepentingan dunia), seseiapa yang berbuat demikian seperti disebut di atas, mereka telah malu kepada Allah swt dan melaksanakan hak ‘malu' ( Riwayat At-Tirmidzi )

AKHIRNYA

Akhirnya, buat diri saya dan semua warga Malaysia di mana jua kita berada, berperanan dalam apa jua jawatan dan kapasiti. Malulah dengan Allah swt, diri sendiri, orang ramai. malu dalam kejahatan, bukan malu untuk melakukan kebaikan.

Janganlah bermain dengan POLITIK TAK TAHU MALU!! Janganlah menjadikan tindakan TIDAK TAHU MALU sebagai strategi politik. Kerana ia memalukan kami untuk mempunyai pemimpin yang TIDAK TAHU MALU.

Dipetik dari :
http://www.zaharuddin.net/

Thursday, November 6, 2008

Takkan Orang Melayu Menjadi Pak Turut Sahaja...

Kebelakangan ini ada sahaja cadangan dan tindakan yang jika dinilai kesannya dari segi jangka panjang lebih banyak merugikan orang Melayu, membelakangkan semangat kebangsaan dan melebarkan lagi jurang antara kaum di tanah air ini.

Mengapa atas alasan keadilan untuk semua kaum maka hak dan kepentingan orang Melayu juga yang tidak sudah-sudah 'diusik' walhal keadilan dan kesamarataan sebenarnya adalah dua konsep yang berbeza?

Tambah mengecewakan apabila sebahagian pemimpin Melayu sendiri tidak memanfaatkan kuasa yang ada, sebaliknya memberi lebih muka kepada orang lain dengan menafikan hak orang Melayu sendiri.

Bermula dengan pemberian tanah selama puluhan tahun kepada penduduk kampung baru Cina, diikuti kemudian dengan ratusan hektar tanah untuk sekolah persendirian Cina.
Ini termasuklah pelantikan bukan Melayu untuk mengemudi sebuah badan kerajaan yang penting bagi tujuan pembangunan dan kemajuan orang Melayu di kawasan bandar.
Selain itu, tindakan mahu menukar secara berperingkat status sekolah jenis kebangsaan (SJK) daripada bantuan modal kepada bantuan penuh serta pemasangan papan tanda pelbagai bahasa jelas bercanggah dengan semangat sistem pendidikan kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Malah, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) juga telah menafikan peranan murid-murid Melayu khususnya untuk menelaah ilmu dalam bahasanya sendiri pada ketika anak-anak kaum lain selesa mengikuti subjek yang sama dalam bahasa mereka.

Ada pihak pula menuduh Dasar Ekonomi Baru (DEB) bersifat perkauman Melayu meskipun pegangan ekuiti bumiputera tidak sampai 20 peratus. Sedangkan, kekayaan orang lain tidak pernah dirampas malah semakin kukuh sepanjang 30 tahun pelaksanaan dasar yang mempunyai matlamat serampang dua mata itu.

Namun, apa pula relevannya dengan langkah 'serampang satu mata' iaitu penubuhan sebuah jawatankuasa Kabinet khas memelihara hal ehwal dan kepentingan kaum tertentu? Tidakkah itu terang-terang bersifat perkauman?

Perlu ditegaskan, agenda menangani permasalahan ekonomi dan ekuiti bumiputera bukan bersifat kepentingan perkauman tetapi sebenarnya melibatkan kepentingan nasional.
Bayangkan jika masyarakat bumiputera iaitu majoriti penduduk di negara ini tidak diberi perhatian, sebaliknya kehendak dan tuntutan orang lain pula yang dimanjakan secara berlebihan, adakah itu akan menjamin kestabilan sosial pada masa depan?

Dalam masa yang sama, suara-suara yang galak mahukan pembentukan dan perpaduan sebuah bangsa Malaysia juga yang tegar menuntut sistem pengasingan pendidikan mengikut aliran kaum dikekalkan malah ditingkatkan sebanyak yang mungkin dengan alasan hak asasi manusia.
Walhal, identiti rakyat Malaysia yang benar-benar bersatu padu hanya akan menjadi kenyataan apabila anak-anak Malaysia berbilang kaum ditempatkan di bawah satu bumbung persekolahan yang sama iaitu sistem pendidikan kebangsaan bukannya bersekolah mengikut aliran kaum masing-masing.

Hakikatnya, percaturan politik di tanah air ini menagih strategi dan sifat kewaspadaan yang tinggi di kalangan pemimpin, pelaksana dasar dan pegawai-pegawai kerajaan yang sebahagian besarnya adalah orang Melayu.
Ini penting bagi menjamin orang Melayu tidak kalah dalam apa-apa juga keadaan yang kemudiannya dilabel sebagai tolak ansur.

Mengapa tidak kita contohi kesungguhan politik (political will) pemimpin terdahulu seperti Tun Abdul Razak dan pemimpin seangkatannya memelihara kepentingan Melayu dan mengukuhkan nilai-nilai kebangsaan pada ketika memuncaknya rasa cauvinis dan 'rasis' kaum lain pada masa itu?

Kini, orang Melayu sudah tidak ada apa untuk bertolak ansur, sebaliknya tiba giliran kaum-kaum lain pula untuk bertolak ansur dengan sedia berkongsi, bekerjasama dan menghormati hak orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Oleh sebab itu, sebarang keputusan atau tindakan yang diambil perlu dilihat dan dinilai dalam kerangka perspektif yang lebih luas dan menjangkau ke depan demi kebaikan orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Kita tidak mahu hanya kepentingan politik yang sempit maka sejarah asal usul, siasah, ekonomi dan kebudayaan tanah air ini yang sepatutnya berteraskan Melayu akan melalui satu proses transformasi yang tidak adil.

Tuesday, October 28, 2008

UMAT ISLAM/MELAYU DISERANG DARI PELBAGAI SUDUT...


Jika sebelum ini status orang Melayu dipertikai dan dikatakan sebagai kaum pendatang, kini bahasa Melayu pula dicabar apabila cuba diganding dan disamaratakan martabatnya dengan bahasa lain di negara ini dengan alasan yang cukup tidak munasabah. Isu yang sensitif sebegini tidak sepatutnya dibangkitkan di kala kita sedang menuju sebuah negara maju dan moden tidak lama lagi.

Keadaan ini secara signifikannya sangat tidak menghormati bahasa kebanggaan rakyat Malaysia dan mencemar semangat Perlembagaan negara kita.

Walaupun setelah bahasa Melayu ditukar menjadi bahasa Malaysia yang menyebabkan ramai yang terasa hati dan sedih, namun ditelan jua dengan harapan semua bangsa di negara ini dapat menerima bahasa keramat ini seadanya dan menjadikannya bahasa unggul di dalam segala urusan.

Sebaliknya, masih ada yang masih berdegil dan cuba menjadi popular dengan membenarkan pemasangan papan tanda nama jalan dalam pelbagai bahasa di kawasan tapak warisan dalam tulisan Jawi, Tamil dan Cina.

Persoalannya ialah perlukah perkara sedemikian dilakukan di kala bahasa Melayu adalah bahasa utama negara.

Keadaan ini seolah-olah menunjukkan bahawa bahasa Melayu masih tidak mendapat tempat di hati kalangan bukan Melayu dan tidak diterima sebagai bahasa kebangsaan walaupun pada hakikatnya bahasa Melayu adalah lambang perpaduan rakyat sejak sebelum merdeka lagi dan simbolik kepada pembentukan sebuah bangsa Malaysia.

Jika masing-masing kaum cuba menonjolkan keagungan bahasa mereka dan menjadi juara politik murahan serta membelakangkan bahasa Melayu dalam urusan seharian pentadbiran, ini hanya akan merugi dan menggagalkan wawasan kewujudan bangsa Malaysia yang berbilang kaum.

Perlembagaan Persekutuan 1957 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 jelas memperuntukkan kedudukan sebenar, realiti dan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi di negara ini. Untuk itu, bahasa Melayu hendaklah diletakkan di landasan yang betul dalam semua urusan rasmi serta tidak rasmi rakyat dan negara.

Bahasa Melayu juga mestilah menjadi teras kepada sistem pemerintahan, pendidikan, ekonomi, politik dan sebagainya. Namun begitu, ini tidaklah bermakna bahasa ibunda kaum lain dinafikan penggunaannya, malahan perlu digalakkan mengikut lunas dan ruang lingkup yang dibenarkan.

Oleh itu, sebagai warganegara Malaysia yang taat setia, maka semua pihak perlu akur dengan peruntukan yang ada tanpa banyak muslihat atau cuba merendah-rendahkan standard bahasa Melayu di negara sendiri.

Baru-baru ini beberapa badan, tokoh dan pejuang bahasa mengutuk langkah songsang sebuah kerajaan negeri meluluskan pemasangan tanda jalan dalam bahasa lain dan merayu semua pihak menolak sebarang usaha untuk cuba menyamaratakan bahasa kebangsaan dengan bahasa lain.

Bahasa Melayu mestilah menjadi bahasa unggul dan tunggal, bukannya bahasa tunggul yang boleh dipermain serta diperbodohkan begitu sahaja.

Sehubungan itu, kerajaan dan pihak terlibat diharapkan bertindak segera membetulkan keadaan dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana pihak yang cuba melanggar semangat perlembagaan dan tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan sewajarnya.

Adalah dibimbangi perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini akan membangkitkan kemarahan serta mencetus sesuatu yang boleh menimbulkan kontroversi, provokasi dan pertikaian umum di negara kita apabila peruntukan undang-undang sedia ada tidak lagi dihormati memandangkan perbuatan ini umpama kegiatan subversif yang cuba melemahkan kerajaan, perpaduan kaum dan sistem perundangan.

Dalam masa yang sama, semua kaum di negara ini perlu memahami bahawa usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan bukan milik mutlak orang Melayu.

Adalah menjadi tanggungjawab dan tugas semua rakyat Malaysia menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa terhebat dalam segala lapangan dan disiplin kehidupan di samping dihormati masyarakat dunia sampai bila-bila.

Oleh demikian, rakyat Malaysia mesti berbangga dengan standard dan status bahasa kebangsaan dan menolak sebarang usaha mengecil serta meremehkan peranan, peluang dan dimensi bahasa keempat paling ramai dituturkan di dunia ini

Friday, October 24, 2008

BILA...BILAMASA...BILAMANA.... PELIK TAPI BENAR


perkara yg sungguh menghairankan aku....

1. Bila kita ke EPF untuk menyemak caruman, dengan sekelip mata saja penyata dapat dikeluarkan melalui slip komputer, tetapi bila kita nak mengeluarkan simpanan, kena tunggu berbulan bulan.

2. Bila kerjaan menetapkan hadlaju lebuhraya setakat 110km sejam sahaja, tetapi masih membenarkan penjualan kenderaan yang mampu melepasi hadlaju tersebut sehingga dua kali ganda. Logik ka.. tang mana depa nak lari laju2 sangat..

3. Bilamana kakitangan kerajaan yang dibayar gaji dari hasil dan pendapatan rakyat berlagak sombong bilamasa berurusan dengan orang ramai. Orang ramai bukan rakyat ka?

4. Bila mengenangkan harga kereta Proton lebih murah diluar negara daripada di negara sendiri. Takan nak bagitau aku orang Malaya ni kaya2 semua kut..

5. Walaupun berpuluh-puluh filem bollywood ditayangkan dengan hanya tajuk berbeza, tapi dengan plot yang sama, rentak tarian yang seiras dan pelakon2 yang serupa, masih ramai jugak yang berpusu-pusu untuk menontonnya.

6. Bilamana perempuan ditinggalkan oleh lelaki, lelaki dituduh tidak setia, tetapi bilamana perempuan meninggalkan lelaki, lelaki pulak dikatakan tidak memenuhi citarasa.

7. Bilamasa kita menanyakan status berkenaan sesuatu permohonan kepada Jabatan-Jabatan Kerajaan, jawapannya semua serupa....DALAM PROSES! Standard la tuh..

8. Bilamasa mengenangkan adat sopan santun kita untuk tidak menghabiskan juadah makanan yang dihidangkan oleh tuan rumah bila kita mengunjung walhal dari segi agama mengatakan jangan membazir!

9. Bilamasa kita terlambat untuk membayar pinjaman bank, kita akan dikenakan faedah keatas bayaran tersebut, tetapi bila bank terlebih potong, kita kena tunggu sampai 4-5 bulan walaupun untuk mendapat 5 sen balik...tanpa faedah!.

10. Bilamasa kita terlambat untuk sampai ke lapangan terbang untuk check-in, kita akan didenda 25% dari tambang kapalterbang, tetapi bila penerbangan dibatalkan atau terlambat, satu benda pun kita tak dapat melainkan penat menunggu!

11. Kenapa pemilik teksi Bandaraya mengenakan tambang 50% selepas tengah malam sedangkan dibandaraya selalunya bercahaya terang (macam siang) dan kurang traffic jam pulak tu.. mungkin takut kena rompak.. tapi nak buat apa caj lebih pun kalau lepas tu kena rompak?

12. Bilamasa kita makan di restoran2 makanan segera kita dikenakan caj 10% cukai kerajaan dan 5% cukai perkhidmatan sedangkan cukai kerajaan itu adalah diatas untung syarikat dan cukai perkhidmatan tak pernah ada sebab semuanya layan sendiri?

13. Bilamana kerajaan menyarankan penggunaan ilmu IT kepada masyarakat sedangkan kakitangan kerajaan sendiri pulak tak tahu nak menggunakan e-mail ataupun komputer. Berapa banyak email yang tak berbalas..

14. Bilamasa agensi2 Kerajaan dan Jabatan berkanun menganggap seolah-olah semua orang tahu bagaimana nak isi borang mereka yang berkajang-kajang dan membawa dokumen yang "secukupnya" bila berurusan dengan mereka.

15. Bilamasa rakyat yang belum mempunyai tanah tak pernah berjaya didalam permohonannya sedangkan orang lain yang mempunyai tanah di merata-rata tempat dengan mudah mendapat lagi.

16. Bila kita melihat di kaca televisyen bahawa pengacara-pengacara muzik semuanya beriras mat dan minah saleh dan muka-muka melayu biasa tak laku langsung.

17. Bilamana telefon bimbit yang diusung kesana kemari, walaupun tak dipakai akan dicaj sekurang-kurangnya RM60 sebulan.

18. Walaupun kita tahu bahawa rancangan gusti di tv itu hanyalah lakonan semata-mata, tapi kita masih bermaki hamun dan bersorak bagai nak rak sedangkan kita tahu kalah atau menang, kesemua pelakon2 tersebut dapat duit banyak.

19. Bilamasa sesuatu "traffic jam" terjadi semasa hujan lebat hanya kerana pemandu memperlahankan kereta untuk melihat air yang berlalu deras didalam longkang.

20. Bila mendengar pengulas sukan kita boleh bersajak dan berpuitis ketika mengulas siaran langsung sesuatu acara sukan.

21. Bila kita menanyakan kawan kita alamat rumahnya. dia menjawab " mamat@yahoo.com ".

22. Bila mengenangkan pada suatu masa dulu pemain bolasepak liga profesional boleh mendapat hingga RM10000 sebulan bermain bola macam budak sekolah sedangkan graduan universiti yang bertungkus lumus selama lapan belas tahun kat sekolah hingga pusat pengajian tinggi menerima gaji permulaan hanya RM1250.00 sebulan.

23. Apabila orang ramai merungut semasa gaji kakitangan kerajaan dinaikkan kerana takut harga barangan pun meningkat, tetapi tidak menyoal pulak apabila harga barangan naik tetapi gaji kakitangan kerajaan maseh ditakuk lama.

24. Apabila surat menyurat kepada Jabatan kerajaan hilang dalam perjalanan ataupun mengambil masa 4 bulan untuk dijawab.

25. Bilamasa melihat harga telefon bimbit sekarang lebih murah daripada sewa taliannya.

26. Bila komputer canggih yang kita beli hari ini dah "out-of-date" selepas sebulan dan kita pun maseh belum habis pelajari kesemuanya fungsinya.

27. Bila melihat harga baju kanak-kanak lebih mahal dari baju dewasa.

28. Bila pos laju mengambil masa seminggu untuk sampai.

29. Bilamana kita membayar RM1.20 untuk membeli surat khabar yang penuh cerita rogol, kes khalwat, serta kisah sensasi artis-artis.

30. Bila kita membeli TV 29" tetapi hanya dapat menonton 20" sahaja bila selebihnya dilingkungi dek iklan.

31. Bilamasa teknologi internet sekarang membolehkan seseorang membeli sayur segar menggunakan e-commerce sedangkan laman yang menawar khidmat itu terletak di California , USA .

32. Bilamasa kita demam dan ke klinik untuk berjumpa doktor, kita membayar RM30 hanya untuk sepeket pil panadol sambil diberitahu doctor yang kita ni demam.

33. Apabila kita ke kedai komputer untuk mendapatkan maklumat sesuatu komponen, jurujual menjawab "sikit jam ah.. saya mau tanya tauke".

34. Bilamasa syarikat bas mengenakan tambang yang pelik seperti RM1.75 sambil menyuruh kita menyediakan duit secukupnya sebab lebihan tidak akan dipulangkan, walaupun kita tahu kita jarang sekali menggunakan duit 5 sen.

35. Bilamasa melihat eksekutif2 masih memakai kot dan tali leher semasa makan tengahari kat warong tepi jalan walaupun cuaca panas terik.

36. Bilamana penggemar2 dan pemilik kereta bermegah dengan kereta mereka yang berkuasa besar walaupun sedar yang had laju jalanraya disini hanyalah 110km sejam.

37. Bilamasa kita melihat format pertandingan liga bolasepak negara ditukar setiap musim walaupun sedar yang tahap permainan tetap menurun.

38. Bilamasa F.A.M mencari punca terjadi pergaduhan didalam sesuatu perlawanan liga bolasepak negara sedangkan setiap pasukan diberi gelaran nama "binatang".

39. Bilamasa pemilik kenderaan terpaksa membayar cukai jalan setiap tahun tetapi jalanraya hanya dibaiki lima tahun sekali.

40. Bilamasa artis sanggup menukarkan nama yang mak bapa berikan supaya lebih glamour.

41. Bila pemandu tidak sanggup memberi peluang pemandu lain memotong, tetapi sanggup berhenti untuk mengajak pemandu lain bergaduh ditepi jalan.

42. Bila seorang Pak Aji boleh memberikan komen terhadap kebesaran buah dada seseorang perempuan.. pelik sungguh bila melihat perempuan berjalan hanya matanya kat situ aje..

43. Bilamana pelanggan di McDonald's membeli air "diet coke" sedangkan mereka juga membeli BigMac yang penuh lemak.

44. Bilamana pelanggan diherdik dan dimarahi apabila berurusan dengan Jabatan kerajaan kerana tidak tahu mengisi borang sedangkan Piagam Pelanggan mereka begitu puitis sekali.

47. Bilamana orang2 muda sekarang cepat beruban.

48. Bilamana lebih ramai orang, masa kerja ponteng kehulu kehilir tapi bila lepas waktu kerja baru sibuk nak buat overtime.

49. Bilamana ramai yang memberi nasihat yang merosakkan dari nasihat yang baik.

50. Bilamana di setiap rumah murah terdapat kereta yang harganya lebih mahal.

51. Bilamana ditanya apa yang dibentang dalam belanjawan hari ini Cuma bab bonus sahaja yang hanya diingati.

52. Bilamana seseorang suami mendapat sesuatu dari isteri hanya setelah siisteri mendapat sesuatu darinya terlebih dahulu.

53. Bilamana banyak kejadian rogol atau mencabul kehormatan berlaku, masih ada yang ke tempat kerja dengan pakaian yang seksi (baju tanpa lengan dan skirt pendek nampak peha).

54. Bilamana kerajaan mengagung-agungkan MSC masih ramai rakyat buta IT, tak mampu nak membeli komputer, masih menggunakan Dail Up Modem yang terlalu lembab dan membiarkan bayaran langganan untuk ISDN yang terlalu mahal.

56. Ramai orang yang maseh menghisap rokok di luar KLIA, terutamanya kakitangan KLIA sendiri, sedangkan KLIA sendiri memaparkan amaran 'DILARANG MEROKOK' pada setiap pintu kaca di luar KLIA

Wednesday, October 22, 2008

RASUAH - DAH JADI DARAH DAGING DALAM UMNO

Pemilihan Umno pada Mac depan diharap tidak dijadikan seperti tender terbuka dengan pembida tertinggi mendapat jawatan dalam parti melalui amalan politik wang.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang juga Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata sehingga kini amalan politik wang masih belum dapat dibanteras kerana ia telah berakar umbi, sekaligus menjadi budaya dalam parti.

"Politik wang atau korupsi politik tidak selesai sebab ia sudah menjadi budaya di dalam Umno sekian lama. Cuma tak ramai yang mahu mengaku perkara ini berjalan. Lebih baik kita mengaku dan rakyat menghukum kita bersama-sama supaya orang ramai dapat melihat parti politik ini bersih dari amalan rasuah ataupun tumbuk rusuk dan penggunaan wang secara berleluasa.

"Saya kira mereka yang menyumbang (politik wang), kalau begini lebih baik Umno itu adakan sistem tender, siapa yang lebih tinggi dia jadi ketua. Kalau begitu umno ambil duitnya, siapa yang banyak duit buat bidaan, kan jadi bahan ketawa, tetapi hal macam ni kena dibincang," katanya.

Menurut beliau, antara kekangan utama dalam membanteras gejala itu ialah ketiadaan bukti kerana pihak yang terlibat cukup licik dan licin memainkan peranan mereka.

"Masalahnya ialah bukti. Bukti orang memberi cukup sukar sebab pihak-pihak ini memainkan peranan licik dan licin. Dalam masa tempoh orang tidur, masa tempoh orang tak sedar tidak dapat diambil gambar, tidak dapat diambil tindakan sebab buktinya tidak ada tapi dalam undang-undang baru Akta Pencegahan Rasuah, saya dapati hal ini dapat diatasi sekiranya laporan daripada pihak-pihak berkenaan ada," katanya.

Beliau juga berkata, cadangan supaya sistem kuota dikaji semula atau dihapuskan masing-masing mempunyai kebaikan dan keburukan tertentu.

"Kalau tak hapuskan pun, mungkin bilangan yang terhad dikenakan tapi pada pandangan lain pula, kalau langsung tak ada syarat, ia mungkin disertai oleh beribu calon," katanya.

Umno jelas Rais, tidak mempunyai kebolehan yang cukup untuk memantau dengan rapi amalan politik wang, justeru adalah lebih wajar sekiranya ia diserapkan di bawah bidang kuasa undang-undang negara.

"Yang terbaik mungkin kita boleh lihat sahabat-sahabat kita dari MCA dan Gerakan. Mereka tidak ada syarat yang ketat tetapi secara dasarnya, mereka bebas dari semua amalan ini.

"Saya mungkin silap tetapi saya percaya ketelusan ialah guru yang baik dan kita perlu mengajar diri kita menerusi pengalaman yang lepas, apatah lagi pengalaman yang lepas itu tidak berada dalam keadaan yang baik," katanya.

Friday, October 17, 2008

Apakah The King'Thir' @ Mahathirsme Akan Muncul Semula...

Era Mahathirsma akan kembali menguasai UMNO - itulah kata-kata yang hebat diperbualkan oleh rakyat di merata-rata tempat. Najib, Muhyiddin dan juga Mukhriz akan menguasai UMNO dan semua pemimpin yang tidak sealiran dengan Mukhriz dan Tun akan dicantas selepas mereka mengambil alih kuasa pada 3 March. Tun akan menjadi “Master Mind” kepada kepimpinan kerajaan walaupun ini dinafikan oleh Tan Seri Muhyiddin Yassin.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan cakap-cakap bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah perancang utama dalam meningkatkan popularitinya dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin masa depan negara. “Saya tidak fikir anda perlu dalam apa cara pun keliru kerana anda lihat kami bersama (dengan Mahathir).

Pada hakikatnya kami bertemu dalam sesetengah majlis tidak bermakna ada perkembangan besar berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Pelaburan Bersama Malaysia-Indonesia pertama di Kuala Lumpur Rabu. Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya sama ada Dr Mahathir ada peranan untuk menentukan pemimpin masa depan negara.”Beliau (Mahathir) masih lagi dihormati sebagai negarawan veteran Malaysia. Anda juga mempunyai penghormatan tinggi terhadap beliau. Saya tidak fikir kita boleh nafikan hakikat ini. Tetapi sejauh mana beliau telah mempengaruhi dalam aspek pentadbiran, saya fikir ini adalah sesuatu yang Datuk Najib sepatutnya mampu untuk uruskan,” kata beliau.

Apa juga alasan Muhyiddin, kita tidak dapat menutup mulut rakyat yang kini sibuk bercerita mengenai era Mahathirsma, Mereka Khuatir Najib akan menjadi ‘Boneka’ kepada Tun dan seandainya Najib enggan menjadi boneka kepada Tun, Najib akan mengalami nasib yang sama malahan dijangka lebih buruk daripada Pak Lah kerana Tun telah berjaya menanam kuncu-kuncunya di dalam kepimpinan UMNO sekarang.

Tun akan sekali lagi berkata, saya telah membuat satu kesilapan besar kerana percaya kepada Najib dan Muhyiddin. Sebaiknya Tun bersara dan jangan terlibat langsung dengan politik tanah air. Jika dia mahukan Mukhriz terlibat, biar Mukhriz sahaja yang terlibat dan jangan ada campurtangan dalam kepimpinan UMNO.

Muhyiddin, walaupun menafikan akan pembabitan Tun yang terlalu mendalam dalam UMNO sekarang, tidak boleh membohongi rakyat, kerana rakyat tahu bahawa Tun adalah “Master Mind” kepada pergolakan yang berlaku dalam UMNO sekarang. UMNO akan terus bergolak dan berpuak-puak jika era Mahatirisma kemabli. Kerana di zaman Tun dahulu UMNO telah berpecah beberapa kali. Tun tidak selembut Pak Lah, tak suka, keluar dan tubuhkan parti lain. Pasti akan ada perpecahan dalam UMNO jika pemimpin boneka Tun berkuasa.

Apakah cakap-cakap politik kedai kopi ini membayangkan rakyat mulai risau akan terbentuk kembali era Mahathirisma.

Thursday, October 16, 2008

ANDA BUAT PENILAIAN SENDIRI....?????




Cerpen Kontrovesi Chamil Wariya

YB J

PAGI itu resah YB Josephine, yang lebih mesra dengan panggilan YB J sukar dikawal. Sepanjang perjalanan menuju ke Dewan Perhimpunan Warga Cha di ibu kota, fikirannya terganggu. Tuduhan bahawa dia anti-Islam dan anti-Melayu sungguh-sungguh menghantui perasaannya sejak malam tadi lagi. Entah mengapa baru sekarang dia begitu, dia sendiri tidak tahu. Dia juga tidak pasti sama ada pemandunya, Ahmad, menyedari gelora jiwanya ketika itu. Kalau dia tahu pun, peduli apa, YB Josephine berbisik sendirian.

Pemandu itu memang sedia maklum pendirian politiknya tentang kepentingan kaumnya vis a vis orang Melayu. Dan dia tahu Ahmad menghormati pendiriannya, walaupun dilihat anti- Melayu, anti-Islam sebagai hak asasi tinggal dalam sebuah negara demokrasi. Bukankah kebebasan asasi itu dijamin oleh Perkara 5 hingga Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Tetapi YB J akui demokrasi ada yang tidak sempurna dan kerap disalahgunakan oleh pihak yang berkuasa. Tetapi hakikat itu tidak menghalang rakyat menempatkan pembangkang di Dewan Rakyat. YB Josephine adalah salah seorang daripadanya.

Ah, tudahan dia anti-Islam, anti-Melayu tuduhan yang melulu bentak YB J seolah-olah mahu menyedapkan dirinya.. Ia juga tuduhan yang tidak berasas, hati kecilnya bersuara lagi. Dia meyakinkan dirinya bahawa kenyataankenyataan yang dibuatnya atas nama pelbagai kaum untuk memperjuangkan kepentingan kaumnya, bukan sesuatu yang rasis. Amensty International, organisasi hak asasi antarabangsa akan menyetujuinya. Begitu juga dengan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ketua Pembangkang, di Parlimen pun tidak pernah menganggapnya rasis. Yang menganggapnya rasis hanya orang Melayu di dalam Parti Orang Melayu (POM).

“Aku juga bukan anti-Islam. Aku bukan anti Melayu,” pujuk hati YB J yang sudah dua penggal bergelar YB itu, mewakili Parti Bertindak Rakyat. Parti itu dianggotainya sejak berada di kampus lagi, walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti melarang para siswa membabitkan diri secara langsung dalam mana-mana organisasi siasah. Lagi pun penguatkuasaan undang-undang itu sekadar melepas batuk di tangga. Lebih dari itu, ia adalah satu lagi undang-undang lapuk, kata YB J.

Kata hatinya lagi: “Aku sekadar memperjuangkan kepentingan kaum aku, sama seperti pemimpin Melayu dalam POM memperjuangkan kepentingan bangsanya, sama seperti pemimpin Parti Orang Islam (POI) berjuang untuk bangsa menggunakan wajah Islamnya.”

Malah YB J berasakan kelantangannya memperjuangkan kepentingan kaumnya itulah yang telah membantunya menang kali kedua kerusi Parlimennya. Kali ini dengan majoriti yang lebih besar lagi. Apa yang membanggakan dia adalah perjuangan yang dianggap anti-Melayu dan anti-Islam itu kini turut disokong pengundi-pengundi Melayu di kawasan pilihan rayanya itu. Pada mulanya dia sendiri terkejut apabila dimaklumkan sebahagian besar pengundi Melayu yang merupakan 20 peratus keseluruhan pemilihan berdaftar dalam kawasan Parlimen Alam Maya telah memangkahnya.

Ini satu perkembangan luar biasa. Tidak mungkin mereka menyokong aku, bisik hatinya. Tetapi apabila dimaklumkan oleh para pekerja parti bahawa pengundi Melayu di semua peti undi telah beralih arah mendokongnya, dia menerimanya dengan fikiran terbuka. Baguslah kalau orang Melayu menerima perjuangan Malaysia Barunya.

Tidak puas hati bermonolog dengan perasaannya, YB J secara spontan berpaling kepada Ahmad, pemandunya yang sejak tadi tekun dengan tugasnya.

“Kamu fakir saya anti-Islam, anti-Melayu?”Pertanyaan Ahmad yang sudah menghampiri usia bersara itu tidak menjawab, seolah-olah dia tidak mendengar pertanyaan itu. Matanya tertumpu ke jalan raya. Tugasnya adalah untuk mempastikan YB J selamat ke majlis yang ingin dihadirinya. Dan tiba tepat pada waktunya. Majlis itu penting kerana YB J akan mengadakan dialog dengan generasi muda seketurunan dengannya yang belajar di luar negara tetapi kebetulan berada di tanah air kerana bercuti.

Ahmad sendiri tidak pasti sama ada pelajar yang pernah mempersendakan lagu Negara Ku sewaktu menuntut di sebuah universiti di Seberang Laut turut berada dalam kelompok itu. Kalau pun ada, pemandu YB J tidak ambil pusing. Budak itu memang kurang ajar. Ada ke patut Malaysia dianggap sebagai Negara Kuku (ejaan Inggerisnya cuckoo) yang bermaksud gila. Dan kreativiti digunakan untuk menghalalkan perbuatan biadapnya itu. Cuma Ahmad berfikir kalau semua orang dibiarkan menghina lagu Kebangsaan dengan lirik yang memperlekehkan kehidupan orang Islam, dan atas nama kreativiti, maka kesannya terhadap perhubungan kaum adalah negatif.

Ahmad tidak tahu apakah yang sebenarnya mengganggu bosnya itu sejak dari tadi lagi. Dia jarang begitu. Ahmad dapat mengesan YB J lain macam sahaja pagi itu. Dia dapat membaca keresahan dan kegelisahan YB J. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena walaupun apa yang sebenarnya berkocak di dalam diri YB J dia tidak pasti. Sepanjang ingatan Ahmad, YB J juga tidak pernah berbual dengannya tentang politik, apa lagi tentang isu-isu semasa - kecuali memberi arahan yang ada kaitan dengan perjalanan atau jadual kerja. YB J juga tidak bertanya sama ada dia mengundi pom atau parti apa pada pilihan raya yang lalu.

Lazimnya, sepanjang perjalanan, baik ke pejabat atau majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi yang lain, YB J akan menghabiskan masa membaca akhbar atau membelek-belek fail. Tetapi pagi itu YB J lain macam sahaja. Dia kelihatan resah. Gelisah. Fikirannya juga seolah-olah tidak menentu. Apa yang dibuat serba tak kena. Sekejap dia membelek ucapan utama yang akan disampaikan sebentar lagi menghuraikan gagasan Politik Baru Malaysia Baru yang dipeloporinya. Sekejap dia membelek akhbar-akhbar yang memang menemani YB J ke mana juga dia pergi.

Ahmad cuba mencongak mungkin keresahan YB J ada kaitan dengan suhu politik negara sedang panas ketika itu. Bahangnya terasa di mana-mana. POM sendiri sedang menghadapi pergolakan yang hebat berkait dengan kepimpinannya. Pertarungan kepentingan puak-puak di dalam parti sedang mengambil tempatnya. Kalaulah tidak kerana kedudukan politik kerajaan agak lemah selepas kehilangan majoriti dua pertiga, sudah lama Operasi Lalang, seperti yang pernah dibuat pada 1987, dilaksanakan, agaknya. Mungkin juga tidak kerana di bawah kepimpinan sekarang, kerajaan mengambil sikap yang lebih liberal terhadap para pengkritiknya.

Ahmad juga terfikir mungkin perasaan YB J terganggu dengan tindakan kalangan yang tidak diketahui siapa mereka melempar bom petrol ke rumah keluarga ahli Parlimen Sepohon Beringin, Su Lan. Barangkali, fikir Ahmad, YB J, bimbang kejadian yang sama boleh menimpa diri atau keluarganya.

Mana tahu selepas keluarga Su Lan, bosnya YB J pula yang menjadi mangsa. Dan yang dilempar itu bom betul-betul. Meletup pula. Tidakkah nahas YB J. Sekonyong-konyong Ahmad terbayang kejadian letupan bom berani mati yang berlaku di Damsyik, Syria yang ditonton menerusi Buletin Utama di TV3 beberapa hari lalu. Kalau kejadian yang sudah menghiasi kehidupan harian di Iraq, Israel, Tebing Barat, Gaza atau Afghanistan itu menular di negara ini, alangkah malangnya bumi bertuah ini. Minta disimpang malaikat 44, Ahmad berkata sendirian di dalam hatinya.

Tetapi fikir Ahmad, amaran kalau tidak diendahkan berbahaya. Dia teringat apa yang diceritakan berlaku pada 13 Mei 1969. Bapanya menceritakan dalam tragedi selepas pilihan raya umum pada 10 Mei itu, orang Cina dan Melayu berbunuh-bunuhan. Perjuangan yang mahu menafikan hak-hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera lain yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, tidak dapat diterima oleh mereka. Kata-kata kesat dan menghina orang Melayu oleh para penyokong parti-parti pembangkang sewaktu berarak meraikan kemenangan besar di Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama lain pada pilihan raya 1969 itu tidak dapat ditelan oleh orang Melayu. Parang yang terbiar tumpul selama ini diasah tajam. Dalam keadaan itu tercetuslah pergaduhan yang dahsyat menyebabkan Parlimen digantung dan pemerintahan darurat diisytiharkan. Negara diletakkan di bawah perintah berkurung. Ahmad sendiri belum lahir ketika itu. Tidak lama selepas itu, peralihan kuasa berlaku daripada Tunku Abdul Rahman kepada timbalannya, Tun Abdul Razak.

“Mat, saya ni anti-Melayu dan anti-Islam ke?,” YB J secara mendadak mengulang semula pertanyaannya apabila tiada jawapan daripada pemandunya.

Ahmad, yang sejak tadi membisu seribu bahasa selamba menjawab: “Mungkin tidak YB.” Dia memberi jawapan berlapik. Maksudnya: Mungkin tidak, mungkin ya bergantung pada mata yang menilai.

“Apa maksud kamu mungkin tidak.”

” Ini soal persepsi YB. Persepsinya begitulah. Hakikatnya YB tidak membenci Melayu tidak juga membenci Islam. YB sekadar memperjuangkan kepentingan kaum YB. Tidak salah YB berbuat demikian. Kalau YB tidak memperjuangkan kepentingan kaum YB sendiri, siapa lagi. Tetapi cara YB itu barangkali disalahertikannya.”

“Maksud kamu?” Tanya YB J yang masih belum jelas lagi.

Bergantung

“Yalah, ia bergantung pada mata yang memandang. Bukan sahaja di kalangan orang Melayu, tetapi di kalangan bukan Melayu. YB kena ingat di kalangan bukan Melayu pun bukan semuanya menerima politik baru Malaysia baru YB. Kalau tidak masakan parti satu kaum seperti Parti Orang Cina (POC) masih boleh bertahan.”

“Apa maksud kamu. Saya tidak begitu jelas?”

“Yalah bagi YB perjuangan YB adalah pelbagai kaum. Tetapi dalam tindak tanduk, perjuangan pelbagai kaum YB itu tidak tertonjol. YB mahu menghapuskan tulisan jawi dan ganti dengan tulisan Cina . Bagi mereka itu bukan perjuangan pelbagai kaum. Ia perjuangan satu kaum. Kalau benar pelbagai kaum, YB patut mempertahankan tulisan jawi.” Ahmad memberanikan diri untuk memberikan pandangannya.

Mengesan bosnya ingin mendengar pandangannya lagi, Ahmad berkata: “Patutnya kalau YB benar-benar ingin menjadi pejuang pelbagai kaum, kepentingan orang Melayu jangan diketepikan sewaktu mengetengahkan kepentingan kaum Cina. YB perjuangkan kepentingan kedua-duanya sekali. Penerimaannya saya pasti berbeza. YB akan dilihat sebagai mahu menjaga kepentingan kaum YB, tetapi pada waktu yang sama tidak menafikan hak orang Melayu.”

Itu perjuangan POM dan POC, dengus YB J di dalam hatinya. Bosan aku dengan Si Ahmad ini, dia berkata sendirian. Aku penganjur politik baru dan tidak mahu terikat dengan kerangka politik lama, katanya lagi kepada dirinya.

Perbualan YB J dengan pemandunya habis di situ sahaja. Dia tidak mahu lagi mendengar pandangan karut pemandunya. Dia mahu terus melayan perasaan: Aku percaya pada Politik Baru Malaysia Baru, tegas YB J pada dirinya. Setiap warganegara, tanpa mengira apa keturunan mereka patut diberi hak yang sama mengikut undang-undang. Tidak ada bangsa yang patut diberi layanan istimewa. Tidak ada warga yang patut diberi darjat atau kelas kedua. Kita semua orang Malaysia.

YB J enggan melayan Ahmad lagi. Sebaliknya, dia membelek akhbar Utusan Malaysia yang secara rasmi diboikot oleh partinya. Perhatiannya tertumpu pada artikel berjudul Jangan Padam Rekod Negara yang ditulis oleh seorang generasi muda Cina yang menolak tesis politik baru Malaysia baru.

Ah, satu lagi propaganda yang memperlekehkan kaum aku, dengus hati YB J. Jangan-jangan yang menulis artikel ini orang Melayu. Mereka masih menganggap kaum aku sebagai berketurunan pendatang. Tidak guna punya generasi baru. Dengus YB J. Bisik hatinya lagi: Betullah dulu nenek moyang aku berhijrah ke bumi bertuah ini untuk mencari kekayaan, membebaskan diri mereka daripada kemiskinan dan keperitan hidup di China. Itu dulu. Generasi Cina sekarang sudah menjadi warganegara Malaysia dan mereka hendaklah dilayan seperti warganegara Malaysia..

Dikejutkan

Sedang YB J asyik dengan lamunannya, dia dikejutkan dengan suara pemandunya yang memaklumkan, “Kita sudah sampai YB.”Menunggu dia di luar ialah para penganjur dialog yang bakal berlangsung. Salah seorang daripada mereka membuka pintu kereta YB J, bersalaman dengannya dan memperkenalkannya dengan ahli jawatankuasa penganjur yang lain. Diiringi oleh mereka, YB J dibawa ke pentas. Menurut kiraannya ada 500 orang di dalam dewan pagi itu. Dia bangga dengan kehadiran begitu ramai anak bangsanya yang ingin bertemu dengannya. Apa yang lebih membanggakan YB J ialah mereka belajar luar negara dengan biayai sendiri, bukannya bantuan kerajaan.

Selepas ucapan-ucapan aluan oleh pengerusi penganjur selesai, YB J dijemput untuk memberi ucapannya. Inilah detik-detik yang ditunggu-tunggu oleh YB J. Gagasan politik baru Malaysia barunya akan dihebahkan kepada dunia bebas. Dia teringat buku Kee Thuan Chye yang berjudul 8 Mac The Day Malaysian Woke Up. Momentum rakyat Malaysia atau lebih tepat lagi warga bukan Melayu Malaysia yang sudah jaga dari lena itu mesti ditingkatkan. Pagi itu dia berazam untuk berbuat demikian.

Tetapi tanpa diketahui oleh YB J, di kalangan 500 orang generasi muda yang hadir pada pagi itu ada yang tidak setuju dengan pandangan politiknya itu. Salah seorang daripada mereka berazam untuk membetulkan penyimpangan politik YB J dengan caranya yang tersendiri.

Apabila YB J bangun untuk menuju ke rostrum ucapan, seorang anak muda dari belakang pentas berjalan tenang menuju ke arahnya. YB J tersenyum kepadanya. Dia menyangka anak muda seketurunan dengannya ingin mengiringinya ke rostrum atau bersalaman dengannya.

YB J menghulurkan tangan. Tiba-tiba YB J tergaman dan berdiri kaku. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tergenggam erat pada tangan anak muda yang seolah-olah mahu membalas salam tangan yang dihulur itu ialah sepucuk pistol jenis Revolver yang betul-betul diajukan ke arah dada YB J.

Tanpa berkata apa-apa, anak muda itu melepaskan beberapa das tembakan. Salah satu daripadanya tepat mengenai jantung YB J. Dia rebah ke lantai.

Para hadirin menjadi panik. Mereka yang berada di atas pentas turut tergamam melihat apa yang berlaku. Kejadian menjadi hiruk-pikuk dan tidak terkawal. Pihak penganjur yang tidak menduga kejadian malang itu berlaku, tidak tahu berbuat apa-apa. Beberapa orang anggota polis berpakaian preman yang menjadi tetamu yang tidak diundang dalam majlis itu, meluru ke arah pentas. Rakan-rakan mereka yang berpakaian seragam yang berkawal di luar juga bergegas masuk ke dewan.

Tetapi belum sempat mereka berbuat apa-apa, kedengaran beberapa das tembakan lagi. Kali ini yang rebah adalah anak muda itu sendiri.

Apabila pihak polis tiba di tempat kejadian, kedua-dua mereka - YB J dan anak muda yang berpakaian kemas itu, sudah tidak lagi bernyawa.

Sewaktu pemeriksaan dibuat ke atas mayat anak muda yang tidak dikenali itu, terselit sehelai nota yang ditaip rapi, ditulis dalam bahasa Kebangsaan.

Ia berbunyi: YB Josephine adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai di negara bertuah ini. Saya berkorban untuk masa depan.

Politik baru YB J
Sastera CERPEN
Oleh Chamil Wariya”